Kakitangan kolej vokasional pertimbang representasi gugur 7 kes amang seksual

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA – Seorang pembantu operasi sebuah kolej vokasional masih mempertimbangkan sama ada akan menghantar representasi Jabatan Peguam Negara (AGC) atau sebaliknya.

Ia membabitkan permohonan untuk menggugurkan tujuh tuduhan amang seksual fizikal terhadap lima remaja lelaki di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Peguam, Nasrul Hadi Mat Saad yang mewakili tertuduh berkata demikian ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding sebutan kes di hadapan Hakim, Datin M Kunasundary.

Beliau mengesahkan telah menerima semua dokumen berkaitan kes daripada pihak pendakwaan.

“Kita perlu meneliti kesemua fakta kes, sebelum mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam.

“Sekiranya kami mahu memfailkan representasi, dokumen itu perlu dihantar tiga minggu sebelum tarikh pengurusan kes seterusnya, iaitu 16 Februari tahun depan,” katanya.

Sementara itu, semasa prosiding, Nasrul Hadi mengesahkan pihaknya telah menerima semua dokumen berkaitan kes pagi ini.

Beliau kemudiannya memohon mahkamah menetap tarikh lain untuk prosiding akan datang.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya berkata, pada tarikh prosiding akan datang pendakwaan akan memaklumkan bilangan saksi yang akan dipanggil termasuk penetapan tarikh perbicaraan kes.

Pada 13 Oktober lalu, lelaki berusia 44 tahun itu mengaku tidak bersalah atas tujuh tuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan lima remaja lelaki tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap semua remaja berusia 16 dan 17 tahun ini, dengan menyentuh kemaluan mangsa bagi tujuan seksual, di kolej terbabit antara Februari 2022 hingga September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.