Pencarum PERKESO Kelantan terima lebih RM13 juta faedah

Nora (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nur Hasifah pada Selasa
Nora (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nur Hasifah pada Selasa
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri Kelantan telah membayar lebih RM13 juta faedah kepada pencarum sepanjang Januari hingga November tahun ini.

Pengarahnya, Nora Yaakob berkata, kesemua jumlah tersebut membabitkan 2,967 pencarum.

Menurutnya, hilang upaya kekal (HUK) merupakan jumlah paling besar iaitu lebih RM6.1 juta, diikuti hilang upaya sementara (HUS) lebih RM4.6 juta dan faedah pengurusan mayat (FPM) pula lebih RM1.2 juta.

“Pencarum paling ramai menerima manfaat ialah dalam kategori HUS iaitu 1,331 pencarum, diikuti FPM sebanyak 723 pencarum dan penakat (PKT) sebanyak 396 pencarum‚” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan lawatan di kediaman balu mangsa nahas kereta terbakar, Nur Hasifah Razni, 25, dalam kejadian pada 27 November lalu.

Dalam pada itu, Nora memberitahu, PERKESO menggalakkan semua majikan dan pekerja mencarum bagi membolehkan agensi berkenaan membantu jika berlaku sebarang kematian dan kemalangan.

Tambah beliau lagi, agensi tersebut memandang serius majikan yang gagal mendaftar caruman pekerja mereka.

“Tiada alasan untuk berlengah dan mengatakan tidak tahu atau melihat prestasi pekerja terlebih dahulu kerana setiap pekerja mempunyai hak masing-masing dalam PERKESO‚” katanya.

Artikel Berkaitan: