Kualiti Morales aset Harimau Malaya

Kehadiran Morales bakal memperkuat jentera serangan skuad Harimau Malaya. Gambar kecil: Mohd Azraai
Kehadiran Morales bakal memperkuat jentera serangan skuad Harimau Malaya. Gambar kecil: Mohd Azraai
A
A
A

PENYERANG Kuala Lumpur City (KL City) FC, Romel Morales sah menjadi pemain naturalisasi baharu negara apabila dia dipanggil oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon bagi menjalani kem latihan pusat bermula Selasa depan.

Bagi pemerhati bola sepak negara, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kehadiran Morales akan memberikan nilai tambah kepada jentera serangan Harimau Malaya.

“Kita tahu kualiti Morales selain fizikalnya yang tinggi dan tegap untuk menjadi senjata baharu skuad negara di bahagian serangan. Sekurang-kurangnya Pan-gon ada pilihan untuk memilih pemain di bahagian depan.

“Menarik untuk menyaksikan kemampuannya kerana ini kali pertama dia beraksi bersama pasukan kebangsaan dan saya yakin dia boleh memahami corak permainan pasukan negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Morales mula beraksi di pentas Liga Malaysia (Liga-M) pada 2018 bersama PKNS FC selama dua musim, sebelum berhijrah ke Melaka United (2020) dan kemudian menyertai skuad The City Boys mulai 2021 sehingga kini.

Untuk rekod, Morales kini merupakan pemain naturalisasi kelapan negara selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick dos Santo dan Paulo Josue.

Dalam pada itu, Pan-gon menyenaraikan semula tiga lagi pemain dalam skuad kali ini iaitu dua pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba dan Natxo Insa serta pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee.

Beliau turut mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Dua pemain yang digugurkan pula ialah pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan pertahanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad ekoran kecederaan.

Selain itu, 19 pemain diletakkan dalam senarai bersedia termasuk tonggak JDT, Muhamad Feroz Baharudin dan Nathaniel Shio Hong Wan serta pemain SJK Seinajoki FC, Nooa Laine.

Bagi saingan Piala Asia 2023 di Qatar nanti, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari 2024 dan kemudiannya bertemu Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari 2024.

Malaysia akan melengkapkan aksi kumpulan menentang pasukan gergasi Asia, Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.