Pusat Skuasy Kedah diharap gilap lebih ramai bakat

Hannah (tiga, kiri) menyerahkan dokumen rasmi Pusat Skuasy Kedah kepada Muhamad Radhi (tiga, kanan) sebagai simbolik penyerahan di Jalan Suka Menanti pada Isnin.
Hannah (tiga, kiri) menyerahkan dokumen rasmi Pusat Skuasy Kedah kepada Muhamad Radhi (tiga, kanan) sebagai simbolik penyerahan di Jalan Suka Menanti pada Isnin.
A
A
A

PUSAT Skuasy Kedah diharapkan menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih ramai pemain berbakat dari negeri ini yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dengan tersenarainya sukan skuasy sebagai antara acara dipertandingkan dalam temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, ia diharapkan menjadi pembakar semangat kepada pemain muda untuk beraksi di pentas Olimpik.

Menurutnya, kemudahan itu juga membolehkan Kedah dapat menganjurkan lebih banyak pertandingan akar umbi bagi mencungkil bakat baharu.

“Kedah merupakan penyumbang pingat kepada skuasy negara, kita akan bekerjasama untuk bangunkan sukan ini bersama-sama dengan adanya Pusat Skuasy Kedah.

“Kedah boleh anjurkan lebih banyak pertandingan pada tahun depan kerana mereka ada fasiliti kelas pertama seperti ini. Malah ia turut memanfaatkan program pembangunan bakat melibatkan 71 atlet di negeri ini,” katanya selepas majlis penyerahan Pusat Skuasy Kedah kepada kerajaan negeri diwakili Exco Belia dan Sukan, Muhamad Radhi Mat Din di sini pada Isnin.

Hannah memaklumkan, kompleks bernilai RM10.8 juta itu siap sepenuhnya pada 20 Ogos, dilengkapi empat gelanggang berhawa dingin merangkumi dua gelanggang acara beregu, astaka penonton, empat gelanggang berkipas, bilik rehat VIP, bilik persalinan lelaki dan wanita, surau, pondok pengawal, bilik jurulatih, bilik teknikal dan bilik sokongan.

“Idea penubuhan pusat latihan skuasy ini datangnya daripada kerajaan negeri yang mengemukakan permohonan kepada Kementerian Belia Sukan (KBS) pada 2016.

“Kelulusan turut mengambil kira kecemerlangan pasukan skuasy Kedah yang melahirkan ramai pemain peringkat antarabangsa, antaranya S Sivasangari dan pemain adik-beradik, Aifa dan Aira Azman yang diserapkan bawah Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN),” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, KBS telah menyalurkan sebanyak RM300,000 bawah Geran Padanan Sukan sementara RM24,300 disalurkan bawah Dana Sukan Komuniti untuk sukan skuasy.

“Ini menunjukkan kita serius membangunkan dan menggalakkan sukan skuasy di seluruh negeri.

“Bawah dana sama, kementerian menyalurkan RM40,000 untuk Nicol David Organisation bagi menganjurkan Nicol David Junior Open 2023 bagi meningkatkan penyertaan dan pertandingan yang disertai 14 negeri dengan penyertaan seramai 286 pemain,” ujarnya.