Kelantan United tundukkan TRW 6-2

Aksi Kelantan FC dan Kelantan United Football Club (KUFC) di Kota Bharu.
Aksi Kelantan FC dan Kelantan United Football Club (KUFC) di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan United FC (KUFC) menutup tirai Liga Super musim ini dengan nota kemenangan setelah menundukkan pasukan ‘abang’ Kelantan FC dengan jaringan 6-2 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Sabtu.

Tuan rumah bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi tendangan Muhammad Afif Jazimin Mohd Yusoff hasil hantaran Mohamad Khala'if Mohd Naskam pada minit-13 perlawanan.

Pada minit ke-22 Kelantan FC berpeluang untuk menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun peluang itu gagal disempurnakan Mohamad Khala'if.

Empat minit selepas itu, Kelantan FC sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti setelah Mohamad Khala'if dijatuhkan dalam kotak penalti sebelum tendangan disempurnakan Muhammad Afif Jazimin untuk gol kedua pasukan The Red Warriors (TRW) itu.

Tersentak dengan jaringan itu, Sang Kijang Hijau mula memperkemaskan gerak serangan dan berjaya memperoleh gol pada minit ke-29 melalui tandukan Muhamad Hafty Haikal Ismail sekali gus mengurangkan jurang gol.

Tamat babak pertama, 2-1.

Bersambung babak kedua, Sang Kijang Hijau melakukan beberapa pertukaran awal dan berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-49 hasil tendangan kaki kiri pemain gantian, Sharvin Selvakumaran.

KUFC sekali lagi meledak gol ketiga menerusi tendangan kencang bekas pemain import TRW, Ismaheel Akanade pada minit ke-60 hasil hantaran bola Sharvin.

Artikel Berkaitan:

Sang Kijang Hijau terus garang menambah jaringan pada minit ke75 menerusi rembatan Sharvin yang gagal ditampan penjaga gol Muhamad Ilham Amirullah Razali sekali gus memberi gol keempat buat KUFC.

Minit-minit akhir, TRW tambah derita apabila gol ke-5 KUFC diledakkan oleh Royizzat Daud dan penutup satu lagi gol dari Indra Putra Mahayuddin seterusnya wisel penamat dibunyikan.

Keputusan, KUFC menang dengan 6 gol manakala TRW 2.