Tekad ubati kekecewaan penyokong skuad Penyu

Steinbruckner FOTO: FACEBOOK TERENGGANU FC
Steinbruckner FOTO: FACEBOOK TERENGGANU FC
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner bertekad mahu menghadiahkan kemenangan kepada penyokong skuad Penyu pada aksi terakhir Liga Super musim ini menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada Ahad.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, kemenangan itu diharap dapat mengubati kekecewaan penyokongnya selepas skuad Penyu gagal merangkul Piala Malaysia mahupun mara ke separuh akhir Piala Konfederasi Asia (AFC).

Malah Steinbruckner berharap peminat akan datang beramai-ramai ke stadium untuk memberi semangat dan sokongan padu kepada pemain yang telah mempamerkan prestasi membanggakan sepanjang musim ini.

“Saya harap semua peminat datang dan memberi sokongan padu pada perlawanan terakhir musim ini,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Steinbruckner yang mula membimbing TFC tahun ini, akan kekal mengendalikan pasukan itu musim depan selepas memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan dengan membawa skuad Penyu ke pentas final Piala Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata pihaknya menyediakan pelbagai tawaran dan ganjaran menarik kepada penyokong pasukan Hitam Putih sempena perlawanan terakhir musim ini.

Antaranya, penurunan harga tiket iaitu daripada RM15 kepada hanya RM10 untuk dewasa dan percuma untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

Selain itu, TFC juga akan mengumumkan anugerah penyokong paling setia kepada dua pemenang yang bakal diumumkan pada perlawanan itu nanti.

Artikel Berkaitan:

“Semua barangan termasuk jersi pemain dan cenderamata akan dijual dengan harga diskaun.

“Ini adalah tanda penghargaan kami kepada peminat yang sentiasa bersama menyokong skuad Penyu dari awal hingga akhir musim ini,” katanya.

TFC menduduki tangga keenam liga dengan 37 mata manakala Perak FC di tempat ke-11 dengan 22 mata selepas 25 perlawanan.