Orang 'nogori' bangga ada beras jenama sendiri

Kakitangan Jabatan Pertanian daerah Kuala Pilah menyusun beras Seri Menanti yang dijual kepada orang ramai.
Kakitangan Jabatan Pertanian daerah Kuala Pilah menyusun beras Seri Menanti yang dijual kepada orang ramai.
A
A
A

KUALA PILAH - Menjadi sesuatu yang mengujakan buat orang Negeri Sembilan apabila berpeluang mendapatkan beras keluaran pertama negeri ini yang julung kali ditampilkan di Pesta Bola Ngoca 2023 di Perkampungan Budaya Terachi dekat sini pada Sabtu.

Seawal jam 10.30 pagi, orang ramai sudah mula beratur mendapatkan beras jenama Seri Menanti yang dijual dengan harga pengenalan RM2 sekilogram dan RM6 bagi tiga kilogram.

Seorang warga emas, Mokhtar Sulaiman, 78, berkata, tujuan utama dia datang ke Pesta Bola Ngoca berkenaan adalah untuk membeli beras tersebut.

Menurutnya, sesuatu yang mengujakan apabila negerinya mempunyai produk beras sendiri.

"Baguslah Negeri Sembilan dah ada keluaran beras sendiri dan saya berharap lebih banyak lagi tanaman padi dapat diusahakan supaya pengeluarannya lebih banyak.

"Macam-macam beras yang ada di pasaran, tapi nak dapat beras dengan harga murah agak susah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, suri rumah, Asmawati Isa, 49, pula berkata, sebagai anak kelahiran Kuala Pilah, dia berbangga apabila Negeri Sembilan akhirnya mempunyai jenama produk beras sendiri.

Disebabkan itu dia tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan beras berkenaan yang julung kali ditampilkan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai tak lepaskan peluang membeli beras Seri Menanti
Orang ramai tak lepaskan peluang membeli beras Seri Menanti

"Yelah, dari saya kecil lagi keluarga usahakan tanah sawah dan jika dulu kita ada mesin memproses padi.

"Sebab itu bila saya tengok Negeri Sembilan akhirnya ada produk beras pertama ini, saya rasa bangga dan sebab itu tak mahu melepaskan peluang untuk datang membelinya hari ini," ujarnya.

Dia yang tinggal di Kampung Talang dekat sini berkata, setiap negeri yang mempunyai tanah sawah sudah sepatutnya mempunyai jenama beras sendiri sekali gus dapat membantu meningkatkan hasil padi negara.

Sementara itu, pesawah, Ab Kadir Sharif, 65, pula menyambut baik usaha kerajaan negeri memperkenalkan jenama beras sendiri dan ia sememangnya telah lama dinanti-nantikan.

Dia yang mengusahakan tanah sawah seluas 8.9 hektar di Kampung Terusan, Juasseh turut bersedia bekerjasama dengan pihak terlibat bagi membekalkan padi untuk tujuan menghasilkan beras jenama Seri Menanti.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kira-kira 2,500 paket beras pertama Negeri Sembilan akan dijual dalam tempoh dua hari Pesta Bola Ngocha 2023 diadakan.

Ujarnya, kesemua hasil jualan tersebut akan didermakan ke Tabung Palestin Kerajaan Negeri Sembilan.