Imbasan 2019: Berita jenayah, kontroversi

 -Foto Bernama
-Foto Bernama
A
A
A

29 JANUARI 2019 - Dua maut dalam kebakaran didapati mangsa bunuh

SEPANG - Polis mengklasifikasikan kes kematian dua individu yang dilaporkan maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Desa Vista, Salak Tinggi sebagai kes bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, laporan awal bedah siasat mayat mangsa wanita mendapati terdapat unsur jenayah pada mangsa dengan kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepala.

23 MAC 2019 - Misteri kehilangan Acap belum terjawab

Gopeng - Peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan,29, atau Acap dilaporkan hilang.

Kehilangan beliau disedari selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat ketika menyertai larian tersebut.

18 APRIL 2019 - Kenderaan Pengarah JSJN Bukit Aman dicuri

Artikel Berkaitan:

KUALA LUMPUR - Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang digunakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh hilang dipercayai dicuri ketika diletakkan di parkir sebuah restoran di Sungai Ramal dekat Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kenderaan mewah itu disedari hilang oleh pemandunya yang berusia 31 tahun sebaik selesai makan di restoran berkenaan.

19 MEI 2019 - Suspek bakar kereta Mufti Perlis ditahan

ARAU - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dengan kejadian bakar kereta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, 22 Mac lalu.

Tangkapan dibuat sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sebuah rumah di Kampung Jelempok.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, sebuah telefon bimbit jenis Nokia dirampas daripada suspek berusia 36 tahun yang juga seorang penganggur.

18 JULAI 2019 - Azmin Ali dilanda kontroversi

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak dapat dikaitkan sebagai pelaku dalam penyebaran video intim.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, ini berdasarkan proses pengecaman wajah yang telah dijalankan oleh Cyber Security Malaysia mendapati ia adalah negatif.

7 OGOS 2019 - Polis terima laporan MAHB isu kegagalan sistem KLIA

SEPANG - Polis mengesahkan telah menerima satu laporan daripada pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung masalah kegagalan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlaku pada Julai lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah.

20 OGOS 2019 - Polis larang Dr Zakir beri ceramah

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri melarang penceramah bebas, Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah bagi mengelakkan kontroversi yang berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni.

Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad.

Menurutnya, langkah tersebut bagi mengelakkan suasana tidak harmoni serta berpotensi untuk menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.