OKU di sisi faraid, sampaikanlah hak mereka

MEREKA menerima takdir kekurangan dalam penciptaan kejadian, namun jangan sekali-kali diabaikan daripada peruntukan yang telah ditetapkan. -Gambar kecil: ZAHARI MAHAD MUSA
MEREKA menerima takdir kekurangan dalam penciptaan kejadian, namun jangan sekali-kali diabaikan daripada peruntukan yang telah ditetapkan. -Gambar kecil: ZAHARI MAHAD MUSA
A
A
A

3 Disember dipilih sebagai tarikh sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia. OKU merujuk kepada mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Hari memperingati kewujudan komuniti ini bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada kita semua tentang hak dan perlindungan terhadap golongan OKU. Mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan masyarakat seharusnya memperakui kehadiran mereka. Tujuh golongan seperti yang digariskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang perlukan kepada perhatian semua ialah OKU pendengaran, OKU penglihatan, OKU pertuturan, OKU fizikal, OKU pembelajaran, OKU mental dan OKU pelbagai.

Menyantuni OKU melalui hak faraid merupakan sebahagian kebajikan yang diraikan dalam Islam. Mereka menerima takdir kekurangan dalam penciptaan kejadian, namun jangan sekali-kali diabaikan daripada peruntukan yang telah ditetapkan. Paling tidak, golongan selain OKU janganlah menggunakan perkataan yang jelek mahupun nista dalam mendepani mereka dalam urusan agihan harta pusaka.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik". (Surah an-Nisa’, ayat 8).

Ayat ini menjadi simbolik kepada orang yang mampu menguruskan harta untuk meraikan golongan yang tidak mampu melakukan demikian. Berkomunikasi dengan perkataan yang baik menjadi asas untuk diterapkan dalam interaksi sesama mereka.

Ahliyah al-Wujub vs Ahliyah al-Ada’

Asas kepada penentuan hak kepada OKU perlu kembali kepada perbahasan kelayakan individu atau terma ahliyah yang diperincikan oleh ilmuan Islam. Ahliyah bermaksud kelayakan seseorang untuk menerima segala hak dan melakukan tanggungjawab yang disyariatkan kepadanya. Dua kategori ahliyah dikenali dengan ahliyah al-wujub dan ahliyah al-ada’.

Ahliyah al-wujub ialah kelayakan seseorang untuk mendapat hak-hak yang disyariatkan kepadanya atau mensabitkan hak-hak orang lain ke atasnya. Kelayakan ini diukur dengan wujudnya nyawa seseorang.

Artikel Berkaitan:

Manakala ahliyah al-ada’ pula ialah kelayakan seseorang manusia untuk suatu tuntutan dan kebertanggungjawaban melakukan perkara yang disyariatkan ke atasnya. Ukuran untuk kategori ini ialah ialah kemampuan untuk membezakan (tamyiz). Kedudukan dua kategori kelayakan ini adalah berbeza-beza sama ada sempurna atau tidak mengikut jenis OKU sebelum ini (seperti jadual 1). Namun, kesemua OKU yang hidup sudah memenuhi kelayakan dalam ahliyah al-wujub untuk menerima sesuatu hak termasuklah habuan faraid.

Jadual 1.
Jadual 1.

Tiada syarat sempurna taklif

Kesempurnaan taklif individu bukanlah syarat untuk menentukan seseorang itu sebagai penerima harta pusaka atau tidak. Syarat faraid hanya melibatkan tiga perkara iaitu kematian pewaris, hidupnya waris dan mengetahui sebab hubungan serta tiada halangan pewarisan. Justeru itu, OKU tetap di ambil kira sebagai waris walaupun terdapat keterbatasan mengikut tujuh kategori sebelum ini.

Selagi OKU memenuhi syarat untuk mendapat faraid, maka hak faraid sewajarnya diberikan. Sebagai contoh seorang perempuan meninggal dunia dan meninggalkan waris iaitu seorang anak lelaki yang OKU mental dan seorang adik kandung lelaki.

Dalam situasi ini, harta pusaka si mati diwarisi sepenuhnya oleh anak lelaki tersebut sebagai waris ‘asabah dan tiada bahagian kepada adik lelaki si mati yang juga merupakan bapa saudara (pakcik) kepada anak lelaki si mati tersebut. Namun sebagai bapa saudara, adik lelaki tadi berperanan menjaga anak saudaranya (anak lelaki si mati) sebagai ahli keluarga terdekat yang mempunyai hubungan nasab.

Pentadbir OKU dalam keluarga

Pensyariatan faraid merupakan salah satu mekanisme agihan harta keluarga yang dibentuk demi menjaga kebajikan waris termasuk komuniti OKU. Komuniti ini perlu disantuni secara berhikmah kerana mereka bukan lagi kumpulan terpinggir dalam sesebuah keluarga atau masyarakat.

OKU tetap diberi hak faraid dalam Islam walaupun sebahagian mereka tidak mampu untuk mengurus harta dengan sendirinya. Dalam hal ini, perlunya lantikan wasi (pentadbir) sejak awal lagi yang dapat mengurus dan menjaga kebajikan mereka.

OKU selain kategori mental berkemungkinan mampu untuk mengurus hal elwal kewangan sendiri. Namun, OKU mental perlu mendapat perhatian yang lebih dalam mengurus diri mahupun kewangan yang diperolehi. Saranan mewujudkan yayasan keluarga atau tabung amanah keluarga sangatlah penting demi menjaga kebajikan OKU seiring dengan matlamat faraid itu sendiri iaitu memberi hak kepada yang berhak.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)