Muat naik SD: Salim Iskandar direman sehari

Muhammad Rafique menunjukkan hantaran yang dimuat naik Salim di aplikasi X.
Muhammad Rafique menunjukkan hantaran yang dimuat naik Salim di aplikasi X.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Mohamad Salim Iskandar direman sehari bagi membantu siasatan berhubung hantaran yang dimuat naik menerusi platform X, pada Selasa.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya itu ditahan empat pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di kediamannya pada jam 10.45 malam Khamis.

Beliau berkata, Mohamad Salim telah mendapat panggilan telefon daripada pihak polis berkaitan satu laporan terhadap beliau mengenai hantaran yang mengaitkan dengan Perdana Menteri.

"Salim telah menyatakan berkali-kali kepada pegawai polis (akan hadir) pada Isnin (18 Disember) namun semalam, empat pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Bukit Aman telah datang ke rumahnya menyatakan perlu ke Dang Wangi," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Menurutnya, Mohamad Salim telah memberi kerjasama baik dan permohonan awal untuk direman empat hari telah dibatalkan Majistret dengan menggantikan dengan satu hari.

Beliau menjelaskan, Mohamad Salim disiasat di bawah tiga peruntukan melibatkan Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu jenayah fitnah, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

"Tiga siasatan sedang dilakukan, satu hari sahaja mencukupi, bermaksud dari segi perundangan jam 6 petang ini Salim akan dibebaskan daripada tahanan reman.

"Salim telah memberi aku janji melalui saya kepada pihak mahkamah untuk sentiasa memberi kerjasama sekiranya diperlukan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi hantaran di aplikasi X bertarikh 12 Disember, Mohamad Salim memuat naik tiga gambar memaparkan SD dibuat Aidil Azim Abu Adam pada 29 Jun 2020 mengenai pengakuannya diliwat individu berpengaruh.

Hantaran tersebut telah dilihat 154,000 kali, 136 ulang siar dan 513 tanda suka.