Sinar Daily menang laporan dalam talian terbaik di MTMA 2023

Syahirah (kanan) menerima replika hadiah selepas diumumkan pemenang kategori Laporan Pelancongan Perubatan Dalam Talian Terbaik Tahun ini pada MTMA 2023 yang berlangsung di ibu negara.
Syahirah (kanan) menerima replika hadiah selepas diumumkan pemenang kategori Laporan Pelancongan Perubatan Dalam Talian Terbaik Tahun ini pada MTMA 2023 yang berlangsung di ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Editor Gaya Hidup dan Visual Sinar Daily, Syahirah Moktazar dinobatkan sebagai pemenang kategori Laporan Pelancongan Perubatan Dalam Talian Terbaik Tahun ini pada Anugerah Media Pelancongan Perubatan (MTMA) 2023 bagi beritanya mengenai gangguan neurologi Sindrom Guillain Barre.

Laporan itu yang memfokuskan kisah seorang pesakit, Lukman Yahya berjuang melawan sindrom Guillain Barre dipuji kerana penceritaannya yang memberi kesan dan membuka mata pembaca mengenai penyakit tersebut.

Syahirah berkata, satu kepuasan dapat dirasai seseorang wartawan apabila berita yang dihasilkan berjaya menyentuh hati orang ramai dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang sesuatu isu.

"Apa yang memberi inspirasi kepada saya untuk menulis laporan ini ialah sebagai seorang wartawan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menulis cerita yang bermakna dan memberi impak yang akan meningkatkan kesedaran dalam masyarakat.

Bersempena Hari Penyakit Jarang Jumpa Sedunia, saya fikir ia adalah idea yang baik untuk menulis laporan yang akan menyentuh hati orang ramai serta meningkatkan kesedaran," katanya selepas menerima anugerah itu di Hotel Park Royal Collection, di sini, malam Khamis.

MTMA 2023 yang dianjurkan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada kecemerlangan dalam bidang kewartawanan, dengan fokus khusus kepada industri pelancongan perubatan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Syahirah berkata pencapaian beliau bukan sahaja menonjolkan kuasa pemberitaan yang berkesan dalam bidang kewartawanan tetapi juga kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai pelanconga perubatan dan keadaan perubatan yang jarang berlaku.

Pengiktirafan beliau di MTMA 2023 menekankan peranan penting yang dimainkan oleh wartawan dalam memaklumkan serta mendidik orang ramai mengenai isu-isu masyarakat dan penjagaan kesihatan yang penting.

Artikel Berkaitan:

"Kisah ini juga membuka mata kita kepada sistem penjagaan kesihatan Malaysia, bagaimana ia sangat mudah diakses oleh rakyat Malaysia dan bagaimana kita tidak berjuang seperti negara lain untuk mendapatkan penjagaan kesihatan semudah yang kita nikmati ketika ini.

"Saya gembira kerana laporan saya mendapat pengiktirafan dan ia telah memberi impak yang cukup kepada kami, untuk Sinar Daily diiktiraf bagi anugerah ini," ujar Syahirah.

Sinar Daily pada Oktober lalu turut memenangi Anugerah Perak di Anugerah Digital Media Asia 2023 bagi kategori laman web berita terbaik.