BOS pamer 10 tifo simbolik kejayaan sedekad JDT

BOS bakal pamer 10 tifo di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu. - Foto FB Boys of Straits
BOS bakal pamer 10 tifo di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu. - Foto FB Boys of Straits
A
A
A

KUMPULAN penyokong Boys of Straits (BOS) bakal ‘mempamerkan’ 10 tifo sempena aksi terakhir Liga Super 2023 yang menemukan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Menurut jurucakapnya, Farween Johar, 35, kesemua tifo berkenaan akan dipamerkan di sepanjang perlawanan berlangsung sebagai simbolik kejayaan skuad Harimau Selatan itu muncul juara Liga Super selama sedekad berturut-turut.

“Kami akan ‘naikkan’ 10 tifo ini pada perlawanan terakhir liga musim ini dan buat masa ini kami tak boleh dedahkan apakah tifo-tifo tersebut...tunggulah sehinga hari perlawanan.

“Dalam masa sama, kami juga berdepan cabaran untuk menaikkan kesemua 10 tifo berkenaan di sepanjang perlawanan nanti.

“Bagaimanapun, kami akan cuba sebaik mungkin bagi mengatasi masalah-masalah yang timbul kelak dan seterusnya memastikan kesemua tifo dapat dinaikkan,” katanya pada Jumaat.

Tambah Farween, aksi terakhir Liga Super musim ini juga bakal menyaksikan kehadiran terbesar BOS ke Stadum Sultan Ibrahim dengan anggaran seramai 5,000 komrad.

Katanya, sebanyak 80 bas dari seluruh daerah juga sudah mengesahkan kehadiran bagi membawa kesemua komrad BOS pada aksi terakhir Liga Super musim ini.

Sementara itu Farween berkata, sebelum perlawanan bermula, seramai 4,000 ahli BOS akan berarak di sekitar pekarangan Stadium Sultan Ibrahim bagi menyatakan sokongan kepada JDT.

Artikel Berkaitan:

Kataya, perarakan berkenaan juga dilihat sebagai antara perarakan terbesar BOS, khususnya di Stadium Sultan Ibrahim.

“Perarakan ini juga sebagai simbolik kepada meraikan kejayaan pasukan JDT merangkul ‘double quadruple’ (quadruple berganda) dengan mengekalkan empat trofi yang dimenangi musim lalu melibatkan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

“Semoga kejayaan ini berterusan pada masa-masa akan datang,” katanya.