Banjir: Mangsa banjir di tiga negeri terus meningkat

Sebahagian penduduk meredah banjir dengan menaiki motosikal selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Pengkalan Ajal pada Khamis. - Foto Bernama
Sebahagian penduduk meredah banjir dengan menaiki motosikal selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Pengkalan Ajal pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu dan Selangor terus mencatat peningkatan setakat 8 pagi ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di Tanah Merah dan Kuala Krai meningkat kepada 1,201 orang daripada 336 keluarga berbanding 933 mangsa banjir daripada 249 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa sedang berlindung di 18 PPS di kedua-dua kawasan itu.

Di Tanah Merah, mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kelewek, Balai Raya Padang Kijang, SK Alor Pasir, SK Kulim, Sekolah Menengah Ugama (A) Kajang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bunga, Madrasah Wak Seman Kampung Air Batu dan SK Gual Jedok.

Sepuluh PPS dibuka di Kuala Krai melibatkan SMK Kuala Krai, Pejabat Veterinar, SK Banggol Guchil, SK Bedal, SK Chenulang, SK Sungai Embak, Madrasah Kampung Sepuluh, Masjid Chucuh Puteri A, Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A dan Madrasah Chuchuh Puteri A.

Sementara itu, situasi banjir di TERENGGANU semakin buruk dengan 461 mangsa daripada 148 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Hulu Terengganu dan Setiu setakat pagi ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, di daerah Hulu Terengganu 448 mangsa daripada 144 keluarga berlindung di tujuh PPS.

Di PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung Gunung Menerong menempatkan 132 mangsa daripada 30 keluarga; Lubuk Periok (110 mangsa daripada 43 keluarga) dan Kampung Kemat (39 mangsa daripada 14 keluarga).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Kampung Pengkalan Ajal menempatkan 122 mangsa daripada 48 keluarga; Kampung Pelandan (11 mangsa daripada tiga keluarga); Kampung Cheting (29 mangsa daripada lima keluarga) dan Kampung Tok Lawit (lima mangsa daripada satu keluarga).

Di Setiu yang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir sejak semalam menyaksikan dua PPS dibuka iaitu Kampung Besut yang menempatkan lima mangsa daripada satu keluarga dan Surau Mak Bakas yang melibatkan lapan mangsa daripada tiga keluarga.

Di SELANGOR, menurut Info Bencana JKM 106 mangsa membabitkan 35 keluarga ketika ini berlindung di PPS SK Jaya Setia dan Balai Raya Parit Mahang, Kuala Selangor.

Portal publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan sungai di RS Batu 8, Kuala Langat merekodkan paras air setinggi 2.07 meter dan berada dalam tahap bahaya manakala Sungai Klang di Bandar Klang di tahap waspada dengan paras air 2.79 meter direkodkan setakat 8.30 pagi. - Bernama