Anwar mahu usaha promosi barangan Malaysia dipertingkat

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha mempromosi barangan Malaysia di peringkat antarabangsa dan tempatan dipertingkatkan dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sendiri telah memainkan peranan mempromosi barangan Malaysia antaranya melalui pemakaian batik Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Esok petang saya ke Tokyo, Jepun untuk mesyuarat ASEAN dan semua 10 negara ASEAN diundang Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dan satu malam dia kata boleh pakai pakaian sut atau pakaian rasmi.

"Saya bagi nota nak pakai batik Malaysia walau di sana (Jepun) musim sejuk, ini sebab saya rasa bertanggungjawab untuk promosi barang buatan Malaysia,” kata beliau ketika berucap merasmikan Karnival Barangan Malaysia 2023 di sini hari ini.

Dari sudut mempromosi barangan Malaysia di peringkat tempatan pula, Anwar berkata beliau telah menjadikan kunjungan ke gerai dan warung pada hari Jumaat untuk makan tengah hari sebagai acara tetap mingguan.

"Sebelum solat Jumaat saya pergi warung dan gerai dan makan di kedai tempatan. Ini cara promosi barangan Malaysia,” katanya dan menambah ia dilaksanakan sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Anwar turut menyeru anggota pentadbiran untuk menunjukkan kesungguhan dalam mempromosi serta menyokong barangan Malaysia

"Menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan kawan-kawan ambil langkah tambahan (promosi barang Malaysia), ada kesungguhan.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri tidak rasa kurang darjat saya makan di gerai dan warung tiap minggu ... kopi atau makanan dihidang ini kadang-kadang lebih enak daripada restoran lima bintang," kata beliau.

Beliau turut menasihatkan kepada pengusaha produk Malaysia untuk terus mempertingkatkan mutu barangan mereka supaya dapat bersaing dengan syarikat luar.

"Puluhan syarikat (tempatan) telah menerobos ke jaringan antarabangsa bukan sahaja ASEAN tetapi beberapa negara Eropah," katanya.

Mengenai Karnival Barangan Malaysia selama empat hari bermula hari ini, Anwar berkata, karnival itu telah membantu menyemarakkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Kempen beli barangan Malaysia juga harganya itu sederhana ketimbang harga (barang) import. Ia bantu jana pertumbuhan ekonomi," katanya.

Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) diperkenalkan kerajaan antaranya untuk mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk tempatan. - Bernama