Dua 'ulat' di KLIA terima padah ditahan, kenderaan disita

Perodua Alza yang disita JPJ selepas dipercayai diguna untuk khidmat kereta sewa haram di KLIA, Sepang, pada Selasa. - Foto JPJ Selangor
Perodua Alza yang disita JPJ selepas dipercayai diguna untuk khidmat kereta sewa haram di KLIA, Sepang, pada Selasa. - Foto JPJ Selangor
A
A
A

SEPANG - Tindakan dua lelaki yang melakukan khidmat kereta sewa haram atau 'ulat' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini memakan diri selepas mereka ditahan pada Selasa.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, kedua-dua pemandu berusia 43 tahun itu ditahan hasil intipan dan pemantauan di Terminal 1 KLIA oleh sepasukan anggota Stesen Penguat kuasa KLIA.

Menurutnya, pasukan operasi telah menahan kedua-dua lelaki tempatan terbabit yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan Toyota Innova.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' terbabit mengenakan tambang kepada penumpang warga asing dengan kadar RM65 bagi perjalanan dari Terminal 1 KLIA ke Klang dan Putrajaya.

Toyota Innova yang disita JPJ selepas dipercayai diguna untuk khidmat kereta sewa haram di KLIA, Sepang, pada Selasa. - Foto JPJ Selangor
Toyota Innova yang disita JPJ selepas dipercayai diguna untuk khidmat kereta sewa haram di KLIA, Sepang, pada Selasa. - Foto JPJ Selangor

"Bayaran itu hanya akan dibayar selepas sampai di destinasi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Azrin berkata, pihaknya telah menyita kenderaan terbabit untuk siasatan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, manakala sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

Tambah beliau, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Artikel Berkaitan:

"Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu/pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," ujarnya.