KBS ambil langkah elak insiden terlepas emas berulang

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif bagi mengelak insiden terlepas pingat emas seperti mana yang berlaku terhadap jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Para Olimpik 2020 daripada berulang.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, selepas insiden itu KBS menetapkan bahawa jadual penyertaan atlet negara di kejohanan antarabangsa mestilah dipantau pengurus yang terlibat.

"Setiap malam mereka (atlet) akan diberi penerangan (untuk bersiap sedia mengikut jadual mereka), sementara pada pagi kejohanan pula semua pengurus akan berkumpul bagi memastikan atlet kita tidak terlepas untuk mengikuti kejohanan masing-masing mengikut masa dan jadual kejohanan.

"Sebab semua mesyuarat penyelarasan (membabitkan jadual atlet) diadakan pada waktu malam dan pada pagi kejohanan kita boleh pastikan misalnya isu logistik tidak akan berlaku lagi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya di Dewan Negara pada Khamis.

Mohd Hisamudin bertanyakan, tentang jaminan kerajaan menjelang Sukan Paralimpik Paris 2024 bagi mengelak insiden terlepas pingat berulang sekali gus mengelak kerugian kepada kontinjen negara dan pelaburan yang dilakukan.

Hannah berkata, selain itu KBS juga menyelaras jadual pergerakan semua agensi sukan negara pada setiap kejohanan antarabangsa yang diikuti.

"Apabila kita pergi ke kejohanan antarabangsa kita bergerak serentak iaitu Majlis Olimpik atau Majlis Paralimpik bersama Majlis Sukan Negara (MSN) akan sama-sama berbincang (tentang jadual atlet dan sebagainya)," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada kejohanan Paralimpik 2020, menyaksikan Muhammad Ziyad terlepas pingat emas apabila kemenangannya dibatalkan selepas dia dianggap tersingkir kerana dikatakan lewat masuk ke 'call room' sebelum pertandingan dimulakan.

Menurut laman Facebook Team Malaysia, pingat emas itu secara rasmi diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval yang membuat bantahan selepas kemenangan Ziyad.

Sebelum itu, Ziyad secara tidak rasmi berjaya meraih pingat emas kedua untuk negara dan memecahkan rekod dunia pada acara akhir lontar peluru F-20, menerusi lontaran ketiganya dengan catatan 17.94 meter.