Qabil Irfan terima insentif khas RM15,000

Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) menyerahkan insentif kepada Qabil Irfansempena program Exclusive Meet And Greet With World Champions FIM Mini GP 2023 di Litar Permotoran Gong Badak, di Kuala Nerus.
Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) menyerahkan insentif kepada Qabil Irfansempena program Exclusive Meet And Greet With World Champions FIM Mini GP 2023 di Litar Permotoran Gong Badak, di Kuala Nerus.
A
A
A

KERAJAAN Terengganu menyerahkan insentif khas sebanyak RM15,000 kepada pelumba negara, Qabil Irfan Azlan atas kejayaan merangkul juara dalam siri perlumbaan bertaraf dunia, MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol pada 23 November lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif khas berbentuk wang tunai itu diberikan sebagai penghargaan dan galakan kepada pelumba cilik berusia 11 tahun itu untuk terus melakar kemenangan sekali gus memberi inspirasi kepada golongan muda.

"Saya berharap kerja keras dan usaha berterusan dipamerkan oleh adik Qabil dan pelumba cilik lain menjadi inspirasi kepada anak-anak remaja dan rakyat Terengganu untuk terus mengejar impian dan cita-cita masing-masing.

Qabil Irfan (tengah) dan beberapa pelumba lain menerima insentif khas.
Qabil Irfan (tengah) dan beberapa pelumba lain menerima insentif khas.

"Anak remaja dan rakyat Terengganu perlu mempunyai minda kelas dunia dalam setiap perkara yang dilakukan. Jangan mengehadkan sekadar dalam kampung kita sahaja, atau sekadar dalam negeri kita sahaja. Sasar sehingga ke peringkat antarabangsa. Sebuah kejayaan besar bermula dari sekilas angan-angan dan cita-cita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program Exclusive Meet And Greet With World Champions FIM Mini GP 2023 di Litar Permotoran Gong Badak, di sini pada petang Rabu.

Turut diraikan pada majlis itu ialah Muhammad Airel Ahmad Marzuki yang juga terpilih mewakili negara untuk menyertai kejohanan tersebut.

Hadir sama, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong dan menyediakan insentif bagi membantu pelumba-pelumba cilik itu untuk mengembangkan bakat mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.

Katanya, pelumba-pelumba yang terpilih untuk menyertai kejohanan ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa akan dibantu sama ada melalui kerajaan negeri atau secara terus melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) bersama Hishamuddin (kiri) dan Wan Sukairi (kanan) melihat motosikal yang digunakan pelumba-pelumba cilik Terengganu.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) bersama Hishamuddin (kiri) dan Wan Sukairi (kanan) melihat motosikal yang digunakan pelumba-pelumba cilik Terengganu.

"Kerajaan negeri membantu pelumba-pelumba cilik ini untuk menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dengan membiayai yuran penyertaan mereka RM4,000 hingga RM5,000.

"Kita juga telah menyediakan sebuah motosikal dengan harga mencecah RM40,000 kepada adik Qabil Irfan sebagai usaha dan persediaan untuk melakukan latihan dan menyertai perlumbaan," katanya.

Sebelum ini, pelumba cilik negara itu mencipta sensasi tersendiri selepas merangkul gelaran juara keseluruhan dalam Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 bagi kategori 160cc di Valencia, Sepanyol.