Sakit hati alasan pelajar Jerman godam data peribadi

Data peribadi Canselor Angela Merkel turut digodam. - Foto New York Post
Data peribadi Canselor Angela Merkel turut digodam. - Foto New York Post
A
A
A

BERLIN - JERMAN. Pihak berkuasa Jerman memaklumkan, seorang penggodam berusia 20 tahun mengaku membocorkan data peribadi ratusan ahli politik termasuk Canselor Angela Merkel, kerana ‘sakit hati’ dengan sesetengah kenyataan umum mereka.

Penggodam berkenaan, yang masih belajar dan tinggal bersama ibu bapanya, ditahan selepas polis menggeledah rumah keluarganya di Hesse, Ahad lalu.

“Tertuduh berkata, dia mendedahkan data kerana sakit hati dengan sesetengah kenyataan dibuat pihak yang terjejas,” kata jurucakap pejabat perkhidmatan jenayah internet Frankfurt, ZIT, Georg Ungefuk sambil menambah suspek tidak ditahan reman namun bekerja sama penuh.

Suspek bakal didakwa atas tuduhan mengintip dan menerbitkan data peribadi secara tidak sah.

Ungefuk berkata, tertuduh membuat satu pengakuan menunjukkan penyesalan jelas terhadap pelanggaran keselamatan siber mengejutkan yang menjejaskan kira-kira 1,000 ahli politik, wartawan dan selebriti selain memberi tekanan politik terhadap kerajaan.

Maklumat dibocor terdiri daripada alamat rumah, nombor telefon bimbit, surat, invois dan salinan dokumen pengenalan. Ia pertama didedahkan menerusi Twitter Disember lalu, namun tersebar pantas minggu lalu. - AFP

Artikel Berkaitan: