Rombakan Kabinet tak semestinya mengubah dasar kementerian - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama kakitangan dan agensi di bawah kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ketika hadir ke Majlis Apresiasi Karnival Usahawan Desa (KUD) di Bangi malam ini. - Foto: Bernama

A
A
A

BANGI - Rombakan Kabinet tidak semestinya memerlukan perubahan dasar sesebuah kementerian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebaliknya, dasar dan acuan yang terbukti berkesan, harus dikekalkan.

"Menteri datang dan pergi, timbalan menteri pun datang dan pergi. Namun yang lebih penting bagi kita ialah biar pun kepimpinan itu bertukar ganti, kerajaan bertukar ganti, tetapi dasar (yang baik) harus dikekalkan.

"Jangan oleh kerana mahu wujudkan legasi kononnya, maka dasar diubah, yang baik pun diubah,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Karnival Usahawan Desa (KUD) 2O23 di sini malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan rombakan Kabinet yang pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, dalam usaha memperkukuhkan pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Ahmad Zahid (dua dari kanan) menyampaikan sijil dan anugerah kepada yang terlibat menjayakan Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya baru-baru ini ketika hadir ke Majlis Apresiasi Karnival Usahawan Desa (KUD) di Bangi malam ini. - Foto: Bernama

Rombakan Kabinet itu menyaksikan pertambahan bilangan Jemaah Menteri, pengguguran seorang menteri serta penampilan tokoh korporat dan akademik sebagai muka baharu, selain kemunculan semula lima bekas menteri.

Rombakan itu menyaksikan pertukaran portfolio melibatkan beberapa menteri dan timbalan menteri sedia, ada antaranya Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpindah ke Kementerian Luar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi).

Artikel Berkaitan:

Mengenai KUD, Ahmad Zahid berkata, kejayaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menarik kehadiran lebih satu juta pengunjung pada karnival di Putrajaya pada 22 hingga 26 Nov lepas, merupakan sesuatu yang harus dibanggakan dan dijadikan contoh.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyarankan kementerian berkenaan untuk berusaha menarik lebih dua juta pengunjung pada penganjuran KUD seterusnya yang dijangka diadakan pada 2025.

Pada majlis yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ahmad Zahid turut menyampaikan sijil penghargaan dan anugerah kepada agensi di bawah KKDW yang terlibat menjayakan KUD 2023. - Bernama