Tujuh perkara luar jangka dalam rombakan Kabinet

Tidak mudah membaca pemikiran dan strategi yang diterapkan Anwar menerusi rombakan Kabinet ini. - Foto Bernama
Tidak mudah membaca pemikiran dan strategi yang diterapkan Anwar menerusi rombakan Kabinet ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada hemat saya, membuat beberapa pengumuman luar jangka menerusi senarai rombakan Kabinet yang diumumkan pagi tadi.

Walaupun beberapa perkara sudah boleh dijangka (atau diharap berlaku), tetapi hakikatnya tidak mudah membaca pemikiran dan strategi yang diterapkan Anwar menerusi rombakan Kabinet ini.

Berikut adalah tujuh perkara yang saya anggap sebagai “luar jangka” daripada pemerhatian saya sebagai seorang wartawan.

1. Pecahan dua kementerian kepada empat kementerian

Pewujudan empat kementerian baharu, menerusi pecahan daripada dua kementerian terdahulu memberi gambaran Perdana Menteri percaya bahawa bidang-bidang berkenaan harus diberi tumpuan lebih mendalam.

Empat kementerian berkenaan ialah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Awam, yang merupakan pecahan daripada NRECC, selain Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital (yang merupakan pecahan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital).

Bagaimanapun saya tertarik melihat usaha Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengambil alih tugasan yang dimulakan dan sedang dilaksanakan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk menjayakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Beberapa kenyataan tegas beliau dalam Persidangan Perubahan Iklim (COP28) di Dubai baru-baru ini juga memberi gambaran bahawa beliau sangat menjiwai perubahan tenaga dan pada saya, ini harus dijadikan sebagai batu loncatan buat Fadhillah untuk menjayakan agenda peralihan tenaga dan perubahan iklim.

Artikel Berkaitan:

2. Lantikan Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II

Datuk Seri Amir Hamzah bukan nama asing dalam dunia korporat, malah kedudukan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan dana pelaburan keseluruhan KWSP setakat Ogos 2023 berada pada RM1.1 trilion, serta pengalaman selaku Presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd (TNB) membuktikan sosok ini mempunyai kredibiliti untuk mengemudi isu-isu kewangan dan ekonomi negara serta menjadi orang paling kanan Anwar dalam kapasiti PM sebagai Menteri Kewangan I.

Beberapa perkara utama dijangka menjadi tumpuan beliau sebaik melangka kaki ke Perbendaharaan di Putrajaya, antaranya, usaha untuk mengembalikan keyakinan Malaysia dalam kalangan pelabur, dalam usaha untuk mengembalikan nilai ringgit ke tahap yang lebih wajar, berbanding matawang-matawang utama lain.

3. Dua bekas menteri penuh kembali sebagai timbalan menteri.

Datuk Seri Noraini Ahmad, yang juga Ketua Wanita UMNO, kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.

Beliau sebelum ini pernah menduduki kerusi menteri, iaitu sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibentuk pada 10 Mac 2020.

Beliau bagaimanapun melepaskan jawatan berkenaan pada 6 Ogos 2021 susulan ketetapan UMNO untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Muhyiddin.

Pada hemat saya, pelantikan Noraini pada kali ini adalah sebagai pengiktirafan kepada Wanita UMNO dan usaha memperluas peranan sayap itu dalam pentadbiran negara.

Seorang lagi bekas menteri iaitu M Kulasegaran, pernah dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia semasa Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad kini kembali sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).

4. Bekas Timbalan Menteri Kewangan II naik pangkat, kini jadi menteri penuh

Steven Sim diumumkan sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu, mengantikan V Sivakumar yang juga merupakan satu-satunya menteri yang digugurkan.

Pengumuman ini juga mengambarkan Steven, yang kini merupakan Setiausaha Kerja Kebangsaan DAP berada di trajektori tepat untuk menjadi tokoh politik yang semakin kanan dalam kepimpinan parti berkenaan.

5. Bekas Timbalan Menteri Kewangan I, berubah portfolio ke Kementerian Kerja Raya

Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan salah seorang indidivu yang berpengalaman dan merupakan sosok penting sejak dari pentadbiran Datuk Seri Najib Razak lagi.

Pertukaran beliau ke portfolio Timbalan Menteri Kerja Raya juga menunjukkan UMNO kini tiada wakil di Kementerian Kewangan.

Ahmad adalah salah seorang pemimpin yang sentiasa menjadi perhatian saya susulan keupayaannya menzahirkan ‘stunt’ yang berimpak dan tentu sekali ‘stunt’ beliau atas kapasiti di Kementerian Kerja Raya akan menjadi perhatian para wartawan selepas ini.

6. Ramanan, yang kalahkan KJ di Sungai Buloh kini Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi

Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan merupakan antara sosok baru dalam arena politik negara.

Keputusan Anwar meletakkan beliau sebagai Timbalan Menteri, saya baca sebagai usaha kerajaan untuk memastikan komuniti India tidak tersisih dan sentiasa berada dalam aliran perdana negara.

Kalau melihat daripada keputusan pilihan raya di enam negeri beberapa bulan lalu juga, sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan sokongan penuh masyarakat India kepada Pakatan Harapan.

Pada PRN lalu, undi kaum India kepada PH merosot, masing-masing sebanyak 21%, 19% dan 12% di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

7. Johari Ghani dijangka jadi MK II tapi diletakkan di Menteri Peladangan dan Komoditi

Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang sebelum ini pernah menganggotai Kabinet semasa pentadbiran Najib sebagai Menteri Kewangan II kini dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, menyebabkan jangkaan ramai pemerhati tersasar.

Bagaimanapun, pengalaman dan kebijaksanaan tokoh korporat dan mogul media ini ditagih untuk memajukan sektor peladangan negara dalam mendepani cabaran-cabaran global, seperti ketidaktentuan pasaran dunia, pematuhan standard global serta usaha pelobi-pelobi yang sentiasa cuba menjatuhkan imej sektor peladangan negara. - Awani

*Shafizan Johari merupakan Editor Inisiatif Inovasi Berita Pelbagai Platform di Astro Awani dan pelajar Sarjana Sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro Awani