Pengasingan kementerian perkasa penyampaian maklumat, pacu ekonomi digital

Fahmi (kiri), Gobind Singh
Fahmi (kiri), Gobind Singh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengasingan tugas Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital akan membantu memperkasakan penyampaian maklumat berkaitan pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat selain terus memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah pengasingan tugas itu juga membuktikan komitmen dan kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia terus subur.

Bagaimanapun katanya, beliau memerlukan sedikit masa untuk mendalami dan memahami agihan tugasan dan fungsi dua kementerian itu yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Digital.

"Mungkin dalam seminggu dua, kita akan tahu fungsi dan tugas kita, dan mungkin juga ada terkait mengenai agensi-agensi berkaitan kementerian ini, mungkin ada sedikit perubahan, ada agensi masuk atau ada beralih kementerian.

"Namun saya akan pastikan, dalam tempoh seminggu dua ini, sebelum berakhir tahun ini, kita sudah ada perancangan mengenai apa fokus kementerian ini untuk tahun 2024,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, dalam era digitalisasi ketika ini, adalah wajar untuk mewujudkan satu kementerian khusus supaya dapat memperkemas persediaan kepada negara pada masa akan datang.

Beliau berkata, ini kerana aspek digital mampu mengubah cara masyarakat berfikir atau bekerja, selain membuat sesuatu pilihan untuk bergerak ke hadapan.

"Jadi, kalau kita tinjau ke masa hadapan, saya rasa banyak langkah yang perlu kita ambil untuk memastikan bahawa masyarakat dan negara bersedia untuk cabaran yang akan kita hadapi dalam era digital.

Artikel Berkaitan:

"Pada saya, adalah berpatutan kita ada satu kementerian yang akan melihat perkara-perkara ini secara terperinci dan kemudian menangani masalah sedia ada, sekali gus membuat persediaan untuk masa depan,” katanya.

Justeru, Gobind berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Fahmi bagi mengenal pasti peranan masing-masing antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Selain itu, katanya, satu sidang media akan diadakan bagi menjelaskan kepada orang ramai mengenai pelan tindakan kementerian serta langkah yang akan diambil untuk perancangan pada masa akan datang.

Sebelum itu, lima menteri dan lima timbalan menteri baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Kesemua Jemaah Menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menteri-menteri itu mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, pagi tadi. - Bernama