Rombakan Kabinet langkah bijak penuh aspirasi Malaysia Madani

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Azmil, Azmi, Mazlan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Azmil, Azmi, Mazlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rombakan Kabinet hari ini yang menyaksikan pelantikan lima menteri dan lima timbalan menteri termasuk empat muka baharu, dilihat sebagai langkah bijak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan visi Malaysia Madani mencapai aspirasinya.

Menurut penganalisis itu rombakan yang juga menyaksikan lima bekas menteri menyertai semula Kabinet merupakan sebahagian daripada strategi Anwar untuk beliau menangani isu ekonomi negara dengan berkesan dan efisien di masa akan datang.

Seorang Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan percaya penstrukturan semula kabinet melibatkan beberapa portfolio bukan sesuatu yang berlaku dalam tempoh 24 jam lepas tetapi berlegar di dalam minda Perdana Menteri sebelum ini.

"Ramai yang mempersoalkan keputusan ini tetapi perkiraan saya ada sebab di belakangnya. Sebagai contoh Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipecahkan kepada dua kementerian dibuat berikutan wawasan Malaysia untuk menceburi bidang ekonomi digital secara serius dan saya rasa Gobind Singh Deo adalah calon sesuai untuk menerajui Kementerian Digital.

Beliau berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu di Program The Nation Bernama TV yang membincangkan perspektif rombakan kabinet itu hari ini.

Anwar hari ini mengumumkan rombakan kabinet dan penyusunan semula kementerian melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan masing-masing kepada Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Azmil Mohd Tayeb percaya perubahan kabinet itu dibuat untuk melancarkan pengurusan kerajaan agar menjadi lebih efisien dan berfokus.

Selain itu, beliau melihat langkah mengembalikan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan tepat, mengambil kira pengalamannya yang pernah menyandang jawatan itu sebelum ini semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kita tahu semasa zaman Kerajaan PH, beliau adalah seorang Menteri Kesihatan yang popular dan dengan itu amat sesuai menyandang jawatan berkenaan selain saya fikir ini adalah untuk mengembalikan kouta Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kabinet,” katanya.

Pada masa sama, Penyelaras Bahagian Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM itu tidak menolak kemungkinan pelantikan dua menteri baharu dari DAP hari ini adalah usaha untuk "menenangkan” parti itu yang mungkin terasa "terpinggir” kerana kekurangan peranan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali pula berpendapat tindakan Perdana Menteri melakukan rombakan Kabinet sebagai tepat pada masanya.

"Selepas setahun perjalanan Kerajaan Perpaduan, sekarang adalah masa yang sesuai untuk membuat rombakan kerana kita pertimbang kepada beberapa isu seperti mengisi kekosongan jawatan menteri yang meninggal dunia dan juga memandangkan keadaan negara Malaysia yang sudah bertambah baik dari sudut kelestarian ekonominya, maka perlu diperbesarkan sedikit kabinet itu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit pertambahan dari segi jumlah menteri yang dilantik, namun jumlah itu masih jauh lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu.

Menurutnya lagi, dengan kemasukan muka-muka baharu yang berpengalaman di dalam Kabinet kali ini, ia dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan. - Bernama