Pintu sempadan baharu, siapa lebih untung?

Laluan ICQS Bukit Kayu Hitam yang sentiasa sesak terutama pada musim cuti sekolah. - Gambar hiasan
Laluan ICQS Bukit Kayu Hitam yang sentiasa sesak terutama pada musim cuti sekolah. - Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP kali musim cuti sekolah atau perayaan, pintu masuk sempadan Kedah-Thailand di Bukit Kayu Hitam menjadi sesak dengan kenderaan yang mahu masuk ke negara gajah putih itu.

Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra Durian Burung di daerah Padang Terap yang dibuka pada tahun 2010 menjadi pilihan kedua untuk menyeberang ke Thailand. Laluan ini lebih tenang dan tidak sesibuk seperti laluan ICQS Bukit Kayu Hitam.

Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada November lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob mencadangkan agar sebuah lagi pintu masuk sempadan dibuka di daerah Baling.

Katanya, cadangan itu wajar dipertimbangkan berikutan sempadan Thailand dengan DUN Bayu hanya sekitar dua kilometer dan boleh dimanfaat untuk pembangunan daerah berdekatan.

Isu berkenaan agak kecoh dibahaskan apabila Timbalan Speaker DUN Kedah, Abdul Razak Khamis bertanya sekiranya pintu sempadan baharu dibuka adakah rakyat negara ini atau Thailand yang lebih banyak menggunakan laluan terbabit.

Kata-kata ini ada benarnya. Kajian mendalam harus dilakukan sama ada ia menguntungkan negara atau Thailand.

Adakah dengan membuka pintu sempadan baharu, Kedah dapat menarik kedatangan pelancong dari negara jiran, selain pelancong dari Pulau Pinang dan Perak?

Berdasarkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, jumlah kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand ialah empat juta setahun berbanding hanya 1.3 juta dari negara gajah putih itu.

Artikel Berkaitan:

Jurang terlalu besar itu menunjukkan negara khususnya Kedah perlu segera menggandakan usaha menarik kehadiran pelancong antarabangsa.

Kedah sudah pun mengorak langkah dengan mengadakan kempen ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ untuk merancakkan sektor pelancongan dengan memperkenalkan keunikan bandar raya bersejarah.

Exco Pelancongan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin memberitahu, Kedah giat mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2025 dengan menyertai beberapa pameran di luar negara; antaranya ITB Berlin Jerman, Routes Asia Chiangmai Thailand dan Tourism Expo Japan.

Malah, pelancongan Langkawi turut diberikan penekanan dengan menyelaras lawatan Familiarisation (FAM) Trip media dan agensi pengembaraan dalam dan luar negara termasuk syarikat penerbangan.

Setakat September lalu, sebanyak 23 FAM Trip dianjurkan, antaranya James Magazine dari Itali; penggambaran Al-Jazeera; pengusaha pelancongan dan pempengaruh dari Guilin, China; serta YouTuber dan TikTokers Malaysia ke Langkawi.

Untuk membangunkan sesebuah daerah atau merancakkan ekonomi setempat, tidak semestinya dengan membuka lebih banyak pintu masuk ke negara ini, sebaliknya ia memerlukan kerjasama banyak pihak.

Pemimpin setempat dan penduduk juga perlu lebih kreatif mencipta ruang ekonomi dengan memperkenalkan tarikan baharu seperti restoran dalam sungai atau aktiviti luaran berkayak dari Sungai Siong sehingga Sungai Baling melalui Sungai Ketil.

Baling juga memiliki beberapa tarikan unik yang belum dikomersialkan sepenuhnya seperti penerokaan Gua Sireh, Gunung Baling dan Gunung Pulai selain adanya Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong.

Sekiranya tumpuan diberikan untuk promosi besar-besaran, limpahan ekonomi akan dijana penduduk setempat seterusnya merancakkan kembali pelancongan domestik.

Kita tidak mahu pelancong yang keluar menggunakan pintu sempadan lebih ramai berbanding yang masuk ke negara ini kerana aliran wang negara yang keluar menjana ekonomi negara jiran.

Seeloknya tumpukan kepada perundingan projek jajaran jalan menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, Thailand yang akan dibuat pintu masuk baharu bagi menangani kesesakan trafik di pintu sedia ada.

Ia susulan kerjasama ekonomi dua hala dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sadao bertemu Perdana Menteri Thailand pada November lalu.

* Roslinda Hashim ialah Ketua Biro Sinar Harian Utara