'Jangan sangka buruk jika cerdik pandai Melayu berhimpun' - Tok Mat

Datuk Seri Mohamad Hasan
Datuk Seri Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tuduhan yang dilemparkan sesetengah pihak kononnya kerajaan menggunakan pelbagai kongres sebelum ini untuk mewajarkan perampasan kekayaan negara bagi kepentingan kelompok elit Melayu dianggap sebagai keterlaluan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semangat dan aspirasi pelbagai siri kongres sebelum ini bertujuan mengupayakan pembabitan Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi dan perindustrian, bukan untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kaum pemodal tertentu dalam kalangan Melayu.

Justeru Menteri Pertahanan itu menjelaskan, cadangan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 selari dengan hasrat kerajaan untuk pemerkasaan agenda ekonomi bumiputera yang memerlukan kecerdasan serta paradigma baharu.

Malah beliau berkata, kongres berkenaan bertujuan untuk membincangkan idea kontemporari dan agenda kalis masa bagi memastikan pembabitan bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi serta perindustrian terus disokong dan diupayakan.

"Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 belum lagi berlangsung tetapi telah mula dikritik dengan nada yang sarat dengan prejudis terhadap kerajaan dan orang Melayu.

"Bangsa Melayu amat terkesan dengan perubahan landskap ekonomi global yang dipacu ledakan teknologi maklumat, sains dan kejuruteraan, selain kesan globalisasi serta konflik antarabangsa mutakhir ini yang menggugat kebolehsaingan kaum bumiputera.

"Justeru, janganlah terlalu bersangka buruk setiap kali cerdik pandai Melayu berhimpun dan bermuhasabah demi bangsanya, sama seperti kami tidak pernah bersangka buruk dan prejudis pada perhimpunan bangsa lain, untuk membicarakan jalan ke hadapan bangsa mereka," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dijadual berlangsung pada Januari depan.

Artikel Berkaitan:

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam kenyataan sebelum ini menafikan beliau mempertikai penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara baru-baru ini dan mendakwa kenyataannya diputar belit.

Dalam pada itu Mohamad berkata, isu seperti impak perubahan cuaca, krisis makanan, pandemik, kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan teknologi kewangan penting untuk dibahas dan dibincangkan dalam konteks kemajuan bangsa Melayu serta kaum Bumiputera.

Oleh yang demikian ujar beliau, kerajaan berperanan untuk memastikan potensi setiap bangsa di negara ini dibongkar dan dimajukan secara bertanggungjawab, terutama golongan yang terkebelakang dalam pelbagai sektor ekonomi serta perdagangan.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, semangat berkenaan bakal diterjemah dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dan tiada siapa akan tertinggal dalam kepesatan serta pemodenan ekonomi Malaysia.