Young Tigers tiada masalah benam Mesir

Barisan pemain negara meraikan jaringan yang diperoleh ketika menentang Mesir di Stadium Hoki Nasional pada Isnin.
Barisan pemain negara meraikan jaringan yang diperoleh ketika menentang Mesir di Stadium Hoki Nasional pada Isnin.
A
A
A

MALAYSIA tidak berdepan banyak masalah mencipta kemenangan 4-1 ke atas Mesir dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-16 Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Begitupun, skuad The Young Tigers terlepas peluang berpesta gol apabila hanya mampu menyempurnakan tiga pukulan sudut penalti daripada keseluruhan 16 yang diperoleh.

Skuad muda negara kendalian Muhamad Amin Rahim itu berjaya membuka tirai jaringan menerusi gol padang Harris Osman seawal minit kelapan.

Jaringan awal itu ternyata membangkitkan 'selera' Young Tigers untuk menambah jaringan, namun beberapa percubaan yang diperoleh gagal disudahkan dengan baik sehingga tamat suku pertama.

Sebaik suku kedua bermula, Malaysia terus mengasah kubu pasukan dari benua Afrika itu, sebelum Hafizan Faris menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-16.

Malaysia terus selesa berada di depan apabila Muhammad Danish Aiman berjaya meledak gol ketiga, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44.

Lima minit berselang, Malaysia terus menggempur gawang Mesir, kali ini hasil pukulan sudut penalti yang disudahkan Che Nur Aqilrullah.

Ketika Malaysia 'ligat' memburu jaringan tambahan, Mesir mengejutkan kem Young Tigers apabila Abdelmonem Basel menyumbat gol seminit sebelum perlawanan berakhir.

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi klasifikasi kesembilan hingga ke-12 pada Rabu ini, Malaysia dijadualkan menentang pemenang antara Belgium dan Kanada.