Godam data PERKESO: Beri ruang siasatan forensik dalaman

Sivakumar - Foto Bernama
Sivakumar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar meminta semua pihak memberi ruang kepada pasukan siasatan forensik dalaman untuk melengkapkan siasatan berkaitan kes serangan siber yang menyasarkan infrastruktur dan imej Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Sivakumar, dalam kenyataan malam ini memaklumkan, kementerian berkenaan berharap spekulasi tidak berasas yang ditularkan di media sosial sebelum ini dapat dihentikan kerana ia bukan hanya mengeruhkan keadaan malah berupaya mengundang ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.

"Ini bagi membolehkan matlamat utama penubuhan PERKESO sebagai agensi yang memberikan khidmat perlindungan sosial tidak terjejas rentetan pencerobohan siber ini.

"Kementerian sekali lagi memberi jaminan, tiada pihak yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati menjadi dalang kepada insiden pada 2 Disember lalu,” katanya yang turut memaklumkan serangan siber itu berjaya dipatahkan dengan usaha pemulihan serta mitigasi ketika ini giat dilaksanakan.

Sivakumar berkata, kementerian juga telah mengumpul bukti-bukti forensik sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya bagi menyekat gerakan anasir penggodam berterusan.

Proses itu termasuk meneliti kemungkinan wujud elemen jenayah komersil yang membawa kepada gangguan sistem, pangkalan data dan laman sesawang agensi seliaan kementerian.

Pada Jumaat lalu, PERKESO memberi jaminan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang agensi itu yang diserang penggodam sejak Sabtu lepas tidak akan merencatkan khidmat kepada pencarum, majikan serta orang ramai.

Pertubuhan itu memaklumkan segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terlibat akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh yang diperuntukkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: