Pembinaan LRT JB, HSR ambil kira faktor kewangan negara

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KLUANG - Hasrat Kerajaan Johor yang mahu pengangkutan transit aliran ringan ( LRT) dibangunkan di Johor Bahru memerlukan perancangan rapi dan perbincangan lebih lanjut dengan kerajaan Pusat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan pembinaan LRT tersebut tidak mudah kerana bergantung kepada faktor kewangan negara sama seperti cadangan meneruskan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Anthony Loke berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor di Kluang pada Ahad.
Anthony Loke berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor di Kluang pada Ahad.

"Kementerian Pengangkutan tiada masalah untuk menyokong pelaksanaan sistem pengangkutan awam LRT di Johor, namun begitu bukan mudah kerana ia mengambil kira faktor kewangan.

"Begitu juga HSR, kita lihat sudah ada cadangan daripada pihak swasta dan memang dalam perancangan untuk dilaksanakan, namun untuk diteruskan ia bergantung kepada pembiayaan swasta. Kita sedang menunggu kertas cadangan daripada pihak swasta," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Konvensyen Tahunan DAP Johor di sini pada Ahad.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 dilaporkan mahu kerajaan Pusat menyegerakan Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dan LRT di bandaraya Johor Bahru berikutan kesesakan kritikal di pusat bandar raya berkenaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad berkata, cadangan pelaksanaan LRT di Johor Bahru sudah beberapa kali diutarakan kerajaan Johor malah pernah mendapat makluman Anthony Loke.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anthony Loke memaklumkan perkhidmatan Transit Aliran Bas (BRT) akan melengkapkan jajaran perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dijangka beroperasi awal 2027

Katanya, kewujudan BRT juga dilihat sebagai pelengkap sistem pengangkutan awam yang lebih baik di Johor.

Pada 30 November lalu, kerja-kerja pembinaan RTS yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands di Singapura dimaklumkan mengikuti jadual dan kini mencapai tahap 55 peratus.

RTS merupakan perkhidmatan tren ulang-alik sepanjang empat kilometer antara Stesen Woodlands North di Singapura dan Bukit Cagar, Johor Bahru.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!