Tarikh bersejarah sastera Melayu

Beberapa tarikh yang cukup berharga untuk dikenang, justeru ia mencatat beberapa peristiwa dalam pertumbuhan dan perkembangan sastera Melayu moden. - Gambar hiasan
Beberapa tarikh yang cukup berharga untuk dikenang, justeru ia mencatat beberapa peristiwa dalam pertumbuhan dan perkembangan sastera Melayu moden. - Gambar hiasan
A
A
A

TAHUN 1920, 1925, 1934, 1935, 1941, 1970, 1972, 1986. 1988, 1989 dan 1992. Ini adalah sebarisan tahun-tahun bersejarah dan keramat bagi sastera Melayu.

Tahun-tahun ini dikenang kerana mempunyai makna dan signifikan bagi pertumbuhan dan perkembangan sastera Melayu moden.

Tahun 1920 adalah tahun bermulanya penulisan cerpen. Tersiar dalam majalah Pengasuh berjudul Kecelakaan Pemalas karya Nor Ibrahim pada 4 Februari.

Waktu itu terkenal sebagai genre kisah atau cerita dan ternyata siarannya mendapat sambutan menggalakkan waktu itu. Setiap akhbar dan majalah kemudiannya menyediakan ruangan cerpen. Ramailah penulis menghasilkan karya prosa itu.

Tahun 1925 sebagai implikasi perkembangan daripada prosa cerpen itu, ia adalah tarikh keramat bermulanya penulisan novel iaitu buah tangan Syed Sheikh al-Hadi dengan Hikayat Faridah Hanum.

Teks ini adaptasi daripada novel Zainab karya Husain Heykal, penulis Mesir. Apa yang membanggakan masyarakat Melayu mengalu-alukan kelahiran novel ini yang disiarkan secara bersiri dalam majalah Imam.

Rashid Talu mengikut jejak dengan menghasilkan Kawan Benar dan Lakah Salmah? yang disebut oleh Yahaya Ismail sebagai novel asli pertama teks Melayu.

Ahmad Kotot menghasilkan novel Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan dianggap oleh Abu Bakar Hamid sebagai karya yang berlatar Melayu dan membawa pemikiran Melayu.

Artikel Berkaitan:

Kemudian kita menyaksikan genre novel berkembang subur dan mendapat resepsi istimewa daripada khalayak sastera tanah air.

Tahun 1934 diterima sebagai tarikh permulaan penulisan puisi, sajak. Keluh Kesah, Selalu Merayu, Tak Disangka, Pujukan Hati dan Ibuku karya Muhammad Yassin Makmor atau Pungguk mempeloporinya yang tersiar dalam Majalah Guru.

Puisi ini adalah gejala baru yang menyimpang dan melanggar hukum puitika pantun, syair, gurindam dan seloka. Meski rimanya jejak dengan puisi tradisional itu tetapi rima, ritme dan pemikirannya membawa gejala pemodenan.

Dan betapa kemudian begitu ramainya penulis yang menulis sajak. Suatu indikasi bahawa puisi ini amat disenangi oleh masyarakat Melayu pramerdeka.

Tahun 1935 tarikh penting untuk kritikan. Buat pertama kalinya tulisan Keris Melayu, Ulasan Tun Sri Lanang dan Abdullah Munsyi termuat dalam Majalah Guru, 22 Ogos 1935.

Hashim Awang dan Rahman Shaari menerimanya sebagai penulisan yang mempunyai ciri-ciri kritikan meski struktur dan hujahannya sederhana. Kritikan hanya mendapat kekuatan dan bentuknya yang diterima sebagai pemenuhan penciriannya ialah di tangan Asraf pada tahun 1950-an.

Drama Melayu moden pertama

Tahun 1941 dikenang kerana inilah tahun Lawyer Dahlan ditulis oleh Shaharom Husain dan dipentaskan di hadapan pembesar Johor. Diterima sebagai drama Melayu moden pertama, meninggalkan tradisi bangsawan yang persembahannya tanpa skrip.

Memenuhi tuntutan penskripan yang menyamai skrip drama Shakespeare dan dipentaskan dengan mengaplikasikan arahan dan menggunakan pentas prosenium.

Syed Sheikh al-Hady, On Abdul Rahman dan Ali Aziz meneruskan penulisannya yang terkenal pada waktu itu sebagai drama sandiwara dan banyak merujuk peristiwa sejarah daripada Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

Tahun 1970 dikenang kerana bermulanya operasi Universiti Kebangsaan Malaysia, petanda kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Yang penting ialah di universiti ini tertubuhnya Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu yang diilhami oleh Profesor Syed Mohd Naguib al-Attas, yang ramai memiliki pensyarah berwibawa dan melahirkan ramai graduan istimewa.

Antara pensyarahnya ialah Muhammad Haji Salleh, Ramli Isin, Harun Mat Piah dan lain-lainnya. Pelajar cemerlang ialah Othman Putih, Awang Sariyan dan Rahman Shaari.

Tiga orang daripadanya mendapat kelas pertama Inon Shaharudin Abd. Rahman dalam bidang sastera klasik, Shafie Abu Bakar sastera Islam dan Mana Sikana sastera moden.

Tahun 1972, bermulanya suatu zaman baharu dalam sejarah penulisan sastera Melayu moden.

Mengambil sempena Waiting for Godot karya Samuel Beckett sebagai permulaan zaman pascamoden dalam sastera global dalam Bukan Lalang Ditiup Angin karya Noordin Hassan sebagai pelopor zaman pascamoden di Malaysia.

Drama absurd dan surealisme itu diikuti oleh Dinsman, Johan Jaaffar, Hatta Azad Khan dan Mana Sikana. Lima serangkai ini memenuhi pendramaan tanah air selama dua dekad dan mempengaruhi nama-nama yang lain seperti Syed Alwi, Aziz HM, Anuar Nor Arai dan Wan Ahmad Ismail.

Tahun 1986, 1988, 1989 dan 1992 pula tarikh-tarikh utama bagi pertumbuhan aspek teori dan kritikan sastera Melayu. Teori sastera adalah asas dan dasar bagi perkembangan sesebuah budaya sastera.

Bagaikan sebuah bangunan, ia adalah struktur yang menjadi paksi dan kerangka pembinaan bangunan itu. Rumah sastera berdiri di atas konsep dan prinsip teori sastera.

Justeru itu, setiap bangsa ingin mencipta teori sasteranya sendiri yang beracukan budaya, sejarah, politik, agama dan ekonomi tanah airnya.

Teori sastera Islam

Tahun 1986 terbinanya teori sastera taabudiyah. Janinnya bermula dengan tulisan Dasar Pendekatan Teori Sastera Islam telah dibicarakan dalam Berita Harian, 16 September1984.

Kemudian diperkejapkan dengan pengukuhan dan penyempurnaan dengan definisi, konsep, kriteria, ciri dan kaedah analisisnya.

Dengan menggunakan judul Pendekatan Kritikan Islam dimasukkan dalam buku Kritikan Sastera, Kaedah dan Aplikasi (1986).

Menurut ulasan Hashim Awang dalam bukunya Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan, 1988 telah mengakui pendekatan Sastera Islam itu sebagai sebuah teori. Dengan demikian itulah teori sastera pertama diciptakan di tanah air.

Tahun 1988 terbinanya pula Teori Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Haji Salleh. Ia paralel dengan teori sastera dunia yang dikerjakan Aristotle yang menghasilkan The Poetics.

Aristotle menurunkan teori pendramaan yang dirumusnya daripada budaya teater yang telah berkembang lebih tiga kurun di Greek, menggalurkan cara-cara menulis teks drama sebagai penawar kepada ketandusan karya yang baik di zamannya.

Puitika Sastera Melayu yang namanya adalah hampir sama dengan teks Aristotle itu juga cuba menurunkan puitika sastera yang ditradisikan sastera Melayu klasik.

Tahun 1989 kelahiran teori Pengkaedahan Melayu susunan Hashim Awang. Teori ini terkenal dengan keluasan dan banyak cabangnya, antara yang popular ialah pendekatan firasat dan dakwah.

Pendekatan firasat adalah mirip teori psikologi Sigmund Frued yang masuk ke dalam batin teks untuk menganalisis aspek impian dan harapan perwatakan dalam menghadapi kehidupan.

Demikianlah beberapa tarikh yang cukup berharga untuk dikenang, justeru ia mencatat beberapa peristiwa dalam pertumbuhan dan perkembangan sastera Melayu moden. Tarikh-tarikh itu, signifikasinya dapat dijadikan inspirasi dan motivasi ke arah penciptaan sejarah-sejarah baharu.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia