Pelabur domestik meningkat bukti keyakinan pelabur semakin tinggi

Tengku Zafrul - Foto Fail Bernama
Tengku Zafrul - Foto Fail Bernama
A
A
A

PENINGKATAN bilangan pelabur domestik terutama melibatkan syarikat tempatan di Malaysia menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur semakin tinggi berbanding sebelum ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini terbukti apabila 45 peratus daripada RM225 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga September bagi tahun ini adalah daripada pelabur domestik.

"Biasanya kita lihat keyakinan sebelum ini tidaklah setinggi yang dapat dilihat sekarang, (ini) kerana limpahan ekonomi itu menunjukkan pelabur yang masuk memberi impak yang positif untuk syarikat-syarikat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Ada Apa dengan NIMP 2030 - Maju Industri, Maju Ekonomi Rakyat’ bersempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Beliau berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus menumpukan usaha untuk meningkatkan keyakinan pelabur domestik untuk melabur di Malaysia menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Tengku Zafrul berkata, MITI akan memastikan banyak lagi aspek berkaitan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) diperbaiki dan ditambah baik selain pelaburan yang diluluskan dapat direalisasikan secepat mungkin.

Malaysia telah menarik pelaburan diluluskan bernilai RM225 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, meningkat 6.6 peratus daripada pelaburan RM211 bilion yang diluluskan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi fokus kepada pelaburan berdasarkan visi berbanding tumpuan kepada sektor dalam usaha untuk memacu ekonomi negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: