Pesawat AirAsia patah balik selepas tiga minit berlepas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

LANGKAWI - Sebuah pesawat AirAsia menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berpatah balik selepas tiga minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAB Langkawi) pagi tadi.

Pengurus LTAB Langkawi, Jefry Ramli berkata, pesawat itu yang membawa 156 penumpang dan anak kapal berlepas pada jam 9.17 pagi.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 9.20 pagi berkaitan masalah yang dialami oleh pesawat AK 9327 daripada menara kawalan trafik udara LTAB Langkawi.

"Bertindak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Malaysia Airports, Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bersedia dengan tiga jentera.

"Pada jam 9.30 pagi pesawat AK 9327 selamat mendarat dengan tiga jentera AFRS mengiringi pesawat berkenaan sehingga ke tempat parkir pesawat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jefry berkata, semua penumpang dan anak kapal selamat.

Sementara itu, tinjauan di LTAB Langkawi mendapati penerbangan AK9327 dijadualkan semula pada jam 4.45 petang. - Bernama

Artikel Berkaitan: