Akhlak murni rahsia ketinggian agama

JAGALAH adab dan akhlak di mana sahaja kita berada kerana ia merupakan antara penentu nasib diri pada hari akhirat kelak.
JAGALAH adab dan akhlak di mana sahaja kita berada kerana ia merupakan antara penentu nasib diri pada hari akhirat kelak.
A
A
A

RASULULLAH SAW dianggap sebagai model utama manusia beretika kerana seluruh kehidupannya berpandukan al-Quran.

Ia sehinggakan Aisyah RA dalam sebuah hadis masyhur riwayat Imam al-Bukhari dan Ahmad mengatakan, akhlak yang ditonjolkan oleh Baginda adalah cerminan kalamullah itu sendiri.

Bahkan, menurut Penolong Pendaftar Kanan (Hal Ehwal Islam), Universiti Teknologi Mara Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah, Ustaz Mohammad Faizul Abdan, segala sifat mulia berkenaan sudah ada dalam diri Nabi Muhammad SAW sebelum Baginda diangkat menjadi rasul. Buktinya, Baginda mendapat jolokan al-Amin (yang dipercayai).

USTAZ MOHAMMAD FAIZUL
USTAZ MOHAMMAD FAIZUL

Mohammad Faizul menjelaskan, ini kerana penduduk Makkah ketika itu menyaksikan kesucian, kejujuran ucapan dan sifat amanah Baginda.

Betapa tingginya akhlak Baginda sebagaimana dirakamkan ALLAH SWT menerusi ayat 4, Surah al-Qalam yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Walaupun Rasulullah SAW yatim pada usia yang sangat muda, jelas Mohammad Faizul, keluarga dan masyarakat sekeliling banyak membantu Baginda dalam mempelajari akhlak dan adab.

Artikel Berkaitan:

“Baginda dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang memiliki nasab keturunan dan nilai-nilai baik. Keluarga Baginda terutama datuk dan bapa saudaranya, Abu Talib berperanan dalam membentuk watak dan nilai-nilainya.

“Malah sejak muda lagi, Nabi Muhammad sangat dikenali memiliki sikap prihatin yang mendalam tentang kehidupan masyarakat di sekelilingnya. Baginda SAW juga banyak menghabiskan waktu di Gua Hira‘ untuk bertafakur, sekali gus membantu membentuk pemikiran dan wataknya,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Sesuai dengan status sebagai bakal nabi dan rasul, ujar Mohammad Faizul, pembentukan akhlak Nabi Muhammad SAW adalah menerusi pendidikan daripada ALLAH SWT (Tarbiyah Rabbaniyyah) dan mendapatkan penjagaan daripada-NYA.

BEGITU pentingnya akhlak dan adab dalam Islam sehinggakan ia dianggap sebagai rahsia ketakwaan dan ketinggian agama bagi seseorang.
BEGITU pentingnya akhlak dan adab dalam Islam sehinggakan ia dianggap sebagai rahsia ketakwaan dan ketinggian agama bagi seseorang.

Tatkala nabi menerima wahyu daripada ALLAH SWT yang merupakan sumber utama ajaran dan nilai-nilai Islam, ia sangat mempengaruhi pembentukan serta penyebaran akhlak dan adab dalam Islam, ungkapnya.

“Bahkan, pekerjaan nabi semasa muda sebagai penggembala kambing melatihnya menjadi seorang berakhlak mulia hasil daripada sifat kesabaran, tawaduk, keberanian, belas ihsan, lemah lembut dan mencintai keringat sendiri.

“Dalam pelbagai hadis dan riwayat hidup Rasulullah SAW juga, kita dapat melihat Baginda menunjukkan contoh akhlak yang baik seperti kejujuran, keadilan, kesabaran, kerendahan hati dan kasih sayang.

“Semua itu merupakan aspek yang diajarkan dan ditekankan dalam Islam. Inilah yang menunjukkan akhlak baginda adalah manifestasi daripada pengajaran dan petunjuk Ilahi,” katanya.

Kemuliaan

Begitu pentingnya akhlak dan adab dalam Islam sehingga Mohammad Faizul menyifatkan ia sebagai rahsia ketakwaan dan ketinggian agama bagi seseorang.

Bahkan, pendakwah itu menjelaskan, kedua-dua perkara itu umpama asas sesuatu bangunan kerana ia tidak dapat ditegakkan dengan baik dan kuat tanpa ‘akar‘ yang kukuh.

“Sama juga halnya dengan seorang manusia. Andai tidak mempunyai akhlak baik atau sempurna, sudah tentulah tidak lagi kelihatan cantik atau menarik. Benarlah kata pepatah Arab, segak atau cantik seseorang manusia itu terletak pada adabnya.

“Selagi seorang itu tinggi budi pekertinya, maka selama itulah ia akan kelihatan menarik pada rupanya. Jelaslah betapa pentingnya akhlak dalam kehidupan kerana manusia mencapai kemuliaan melaluinya. Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri diutuskan kepada umatnya untuk menyempurnakan akhlak,” katanya.

PEPATAH Arab menyatakan, segak atau cantik seseorang manusia itu terletak pada adabnya.
PEPATAH Arab menyatakan, segak atau cantik seseorang manusia itu terletak pada adabnya.

Sewajarnya jelas beliau, ilmu dan adab itu tidak boleh dipisahkan. Sebaliknya ia perlu saling melengkapi antara satu sama lain.

“Semakin tinggi ilmu seseorang, maka begitulah juga dengan adab dan akhlaknya. Apabila semakin tinggi akhlaknya, semakin tinggilah darjatnya pada hari akhirat kelak berbanding mereka yang hanya memiliki ilmu, tetapi buruk adabnya,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, Mohammad Faizul menjawab: “Adab penting dalam semua aspek kehidupan. Bukan sahaja ketika menuntut ilmu, tetapi juga dalam interaksi seharian, bekerja dan hubungan sosial.

Penentu nasib di akhirat

Suatu perkara yang menarik perhatian Sinar Islam apabila Mohammad Faizul mengemukakan fakta bahawa akhlak mulia dan perilaku baik antara penentu nasib seseorang pada hari kiamat kelak.

“Menurut ajaran Islam, semua amalan manusia termasuk tindakan dan tingkah lakunya akan ditimbang dan dihisab untuk menentukan nasibnya pada hari akhirat,” katanya.

Beliau kemudian mengemukakan beberapa hadis masyhur menjelaskan peri pentingnya sikap mahmudah tersebut.

Antaranya daripada Abu Darda‘ yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “(Pada hari kiamat) tiada amalan yang lebih berat dalam al-Mizan (timbangan) orang mukmin melainkan daripada akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dalam satu riwayat lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang yang paling aku kasihi dan yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang-orang yang paling baik akhlaknya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

ADAB penting dalam semua aspek kehidupan termasuk menuntut ilmu, berinteraksi, bekerja dan berhubungan sosial.
ADAB penting dalam semua aspek kehidupan termasuk menuntut ilmu, berinteraksi, bekerja dan berhubungan sosial.

Sebelum menoktahkan bicara, pendakwah itu menitipkan pesanan agar kita menjaga adab di mana sahaja keberadaan kita dengan mengambil ibrah daripada ayat 18 dan 19, Surah Luqman.

“Dalam firman-NYA itu, ALLAH SWT menyebut jelas supaya kita tidak memandang rendah kepada manusia, tidak berlagak sombong, takbur dan membanggakan diri.

“Sebaliknya, bersederhanalah dalam langkah semasa berjalan dan merendahkan suara ketika mengungkap bicara,” titipnya.

ANEKDOT

Tip menjaga nilai-nilai akhlak mulia

1. Menahan diri dalam media sosial.

Berhati-hatilah dalam berkomunikasi di media sosial. Jangan menulis komentar yang boleh menyinggung atau merendahkan orang lain.

2. Menghargai perbezaan.

Setiap individu unik dengan latar belakang dan pendapatnya masing-masing. Ia juga kunci untuk menjaga adab dalam masyarakat yang beragam.

3. Tetap tenang dan sabar.

Dalam situasi yang kacau-bilau atau ketika berhadapan dengan perilaku tidak menyenangkan, penting untuk tetap tenang dan sabar.

4. Mengutamakan etika kerja.

Menjaga adab di tempat kerja sama pentingnya termasuk menghormati rakan sekerja, menghindari gosip dan mematuhi etika profesional.

5. Praktikkan ucapan ‘terima kasih‘, ‘tolong‘ dan ‘maaf‘ serta menunjukkan rasa hormat kepada orang lain, baik dalam interaksi langsung mahupun tidak langsung.