Diskaun saman trafik: Wajar atau tidak?

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

RAKYAT Malaysia sudah pasti gembira apabila mereka yang mempunyai saman trafik tertunggak boleh melunaskannya dengan bayaran diskaun sebanyak 50 peratus bermula hari ini hingga Ahad.

Ini berikutan kaunter pengurangan saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuka di Stadium Bukit Jalil sempena program Setahun Bersama Kerajaan Madani.

Selain mengurangkan beban rakyat Malaysia yang berdepan situasi ekonomi tidak menentu, langkah tersebut mungkin untuk menggalakkan orang ramai membayar saman, dalam masa sama tarikan untuk datang ke program berkenaan.

Namun baru-baru ini, pakar keselamatan jalan raya mempersoalkan tindakan kerajaan memberi diskaun tersebut.

Menurut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua, amalan pemberian diskaun adalah tidak wajar.

Katanya, selain tidak pernah diamalkan di negara-negara lain, ia akan menggalakkan pengguna jalan raya tidak menghormati undang-undang.

Pemberian diskaun saman trafik sebenarnya bukanlah amalan baharu.

Pada Mac lalu, PDRM memberikan diskaun sebanyak 60 peratus di semua balai polis kontinjen dan daerah seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, polis Selangor pada Disember 2022 turut menawarkan diskaun 50 peratus bagi saman melibatkan kesalahan lalu lintas.

Adakah ia mencapai matlamat mengurangkan beban orang ramai?

Ada benarnya apa yang dikatakan pakar, malah ramai berpandangan pemberian diskaun tersebut seolah-olah menggalakkan kenderaan berat iaitu lori dan treler melanggar undang-undang.

Dilaporkan, sebanyak 175,909 saman aktif membabitkan RM52.77 juta yang tertunggak oleh kenderaan perdagangan melakukan pelbagai kesalahan dikesan masih belum dilunaskan pesalah dan syarikat sejak tahun 2018.

Melihat kepada itu, mungkin yang akan lebih mendapat manfaat daripada diskaun saman ini ialah kenderaan berat.

Namun, sekiranya pemberian diskaun ini hendak diteruskan, adalah baik hanya melibatkan saman terpilih.

Misalnya seperti yang ditetapkan sebelum ini, pengurangan tidak diberikan kepada saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), berstatus Op Selamat dan bicara mahkamah.

Perlu diingatkan, matlamat saman trafik bukanlah sekadar menghukum, sebaliknya mendidik dan menakutkan pengguna jalan raya supaya tidak melanggar undang-undang.