Mohamad Aniq bawa pulang dua pingat dari Qatar

Mohamad Aniq berjaya merangkul pingat perak acara ‘clean & jerk’ kategori 61 kilogram (kg) serta pingat gangsa bagi acara keseluruhan. - Foto: PABM
Mohamad Aniq berjaya merangkul pingat perak acara ‘clean & jerk’ kategori 61 kilogram (kg) serta pingat gangsa bagi acara keseluruhan. - Foto: PABM
A
A
A

ATLET angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan melakar kejayaan sensasi dengan meraih dua pingat pada Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar, malam tadi.

Badang negara berusia 21 tahun itu cemerlang selepas berjaya merangkul pingat perak acara ‘clean & jerk’ kategori 61 kilogram (kg) serta pingat gangsa bagi acara keseluruhan.

Atlet kelahiran Johor itu melakukan angkatan 170kg bagi clean & jerk dan 126kg dalam snatch sekali gus merekodkan angkatan keseluruhan 296kg.

Wakil Korea Utara Pak Myong-jin meraih emas berganda selepas melakukan angkatan keseluruhan 305kg.

Kejayaan Mohamad Aniq itu menyaksikan beliau memperbaharui rekod kebangsaan 291kg miliknya sendiri semasa memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi pada September lepas.

Pencapaian dilakar Mohamad Aniq dalam kejohanan itu sekali gus menjadi tonik terbaik buat dirinya yang sedang mengejar kedudukan 10 terbaik dunia untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada masa ini, Mohamad Aniq menghuni ranking ke-10 dunia dan penyertaan pada Sukan Olimpik dihadkan kepada 10 atlet terbaik dunia sahaja.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menyifatkan kejayaan Mohamad Aniq sekali gus menyaksikan beliau berada di landasan tepat meraih tiket ke Sukan Olimpik 2024.

Artikel Berkaitan:

"Rekod kebangsaan rasanya sudah tiga kali dipecahkan dan pingat akan dapat jika berada di tempat tiga terbaik, namun untuk ke Olimpik yang diambil kira adalah jumlah angkatan dan ranking.

"Jika atlet terus bekerja keras kita akan berjaya. Kita sasarkan 305kg dan insya-ALLAH jika berat itu boleh diangkat, pingat Olimpik kita akan dapat,” menurut beliau menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya. - Bernama