Berita baik buat penumpang ETS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkenalkan struktur tambang fleksi bermula 1 Mac 2020 bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Struktur baru itu bakal memberikan penjimatan dengan harga lebih berpatutan kepada penumpang dan tiket bagi tambang fleksi itu mula dijual pada 15 Januari 2020.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan hari ini, penjualan tiket itu bagi perjalanan ke semua destinasi perkhidmatan ETS di antara 1 hingga 31 Mac 2020.

“Pelaksanaan tambang fleksi tersebut akan memberi kelebihan kepada pengguna ETS untuk merancang perbelanjaan dan pengalaman perjalanan mereka dengan lebih baik.

“Sebagai contoh, bagi perjalanan pada musim perayaan dan cuti sekolah, pengguna yang membuat tempahan awal akan menikmati kadar tambang lebih rendah berbanding mereka yang membelinya pada saat akhir.

“Pengguna juga berpeluang menikmati penjimatan berganda menerusi promosi-promosi yang bakal ditawarkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, menerusi promosi itu juga, KTMB menawarkan Seleksi Tempat Duduk untuk penumpang membuat pilihan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan bagi perjalanan di antara 1 hingga 31 Mac 2020 ke semua destinasi.

“Selain itu, KTMB masih menawarkan harga tambang konsesi untuk pesara kerajaan dan isteri, warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun, pelajar (pemegang kad KTM i-card), polis, tentera dan bomba,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, kementerian memaklumkan pelaksanaan struktur tambang fleksi tersebut telah diluluskan oleh Kabinet pada 18 September 2019 yang lalu setelah kajian terperinci dilakukan terhadap segala aspek.

“Ia juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang terbaik dan terus memilih pengangkutan awam seperti kereta api sebagai pilihan utama,” katanya.

Perkhidmatan ETS yang mula beroperasi di antara Kuala Lumpur dan Ipoh pada 2010 telah merekodkan seramai 215,000 pada tahun pertama pengenalannya.

Sehingga kini, perkhidmatan itu yang telah dilanjutkan ke sektor Gemas dan Padang Besar berjaya merekodkan seramai 3.9 juta penumpang pada tahun 2018 sekaligus membuktikan popularitinya yang kian meningkat.

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kepada peningkatan populariti itu adalah ketepatan waktu perjalanan perkhidmatan ETS yang menepati sasaran melebihi 95 peratus, layanan khidmat pelanggannya serta kemudahan moden yang tersedia di dalam tren.