Lagi bantuan Malaysia ke Gaza

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan membuat penghantaran bantuan misi kemanusiaan ke Gaza kali ke-3 pada 18 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, misi tersebut melibatkan 60 tan barangan yang dihantar melalui penerbangan.

"Ini merupakan bantuan terbesar yang dihantar ke Gaza berbanding sebelum ini," katanya menerusi sidang akhbar sempena

Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin oleh 99 Speedmart Sdn Bhd dan Wanita UMNO Malaysia di sini pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang memantau kutipan sumbangan oleh orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Itu telah menjadi arahan sebenarnya di mana koordinasi ini dilakukan oleh pihak KLN.

"Lebih baik jika kita khuatir penyaluran bantuan ini diberikan individu dan NGO yang seolah-olah bertindak untuk membantu Palestin tapi akhirnya perbelanjaan itu pergi kepada urusan pentadbiran, bukannya kepada matlamat iaitu membantu mangsa kezaliman di Gaza," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ahmad Zahid menerima replika sumbangan daripada Wanita UMNO berjumlah RM621.954.60 kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) manakala Syarikat 99 Speedmart pula menyumbang RM200,000.

Sebelum ini, Malaysia melalui Ops Ihsan telah berjaya membuat penghantaran bantuan ke

Gaza dengan penghantaran pertama melibatkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan tiba di Gaza pada 10 November lepas.

Ia diikuti penghantaran kedua membawa 16 tan barangan bantuan tiba di Mesir pada 11 November 2023.