Zahid sifatkan Pas gila talak

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pas sebagai 'gila talak' apabila parti itu tidak menolak untuk kembali bekerjasama dengan UMNO.

Bagaimanapun, Presiden UMNO itu berkata, pihaknya belum terbuka hati untuk kembali menjalinkan kerjasama dengan parti tersebut.

"Mungkin ada pihak yang kegilaan talak kerana dahulu mereka pernah berada di dalam kerajaan," katanya menerusi sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin oleh 99 Speedmart Sdn Bhd dan Wanita UMNO Malaysia di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilapor tidak menolak kerjasama dengan UMNO di sebalik sejarah 'pahit' hubungan mereka.

Ia susulan cadangan penyatuan untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya dibangkitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil.

Menurutnya, Pas dilihat seolah-olah tersakiti apabila mempunyai bilangan kerusi terbanyak di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) tetapi terus menjadi pembangkang.

"Alangkah sakitnya apabila mereka mempunyai kerusi yang banyak tetapi terus jadi pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mencabar Isham agar hadir ke mesyuarat MKT yang berlangsung pada Rabu malam bagi menyuarakan pendapat beliau.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini beliau tidak hadir mesyuarat MKT sebanyak tiga kali.

"Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang suarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita menjalinkan kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan," katanya.

Isham sebelum ini mendakwa segelintir pemimpin UMNO-BN bertindak menjadi 'penjilat' DAP yang menjadi punca kekalahan pada pilihan raya kecil (PRK) Kemaman.

Dakwanya, UMNO terus menerima penolakan orang Melayu kerana parti yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi 'barua DAP'.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!