[VIDEO] Penghuni rimas, ribuan burung layang-layang 'serang' pangsapuri

A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 1,000 penduduk di apartmen Danau Perintis, Puncak Alam di sini, rimas apabila kawasan perumahan mereka dicemari dengan kehadiran ribuan burung layang-layang.

Pengerusi persatuan penduduknya, Adham Ismail berkata, kawasan itu mula dipenuhi burung layang-layang sejak Oktober tahun lalu.

Menurutnya, keadaan itu mengundang rasa tidak selesa penghuni dan penyewa di bangunan apartmen 16 tingkat berkenaan.

Kumpulan burung layang-layang hinggap dan membuat sarang di dahan pokok di apartmen Danau Perintis, Puncak Alam.
Kumpulan burung layang-layang hinggap dan membuat sarang di dahan pokok di apartmen Danau Perintis, Puncak Alam.

"Persekitaran koridor apartmen ini dicemari najis burung yang berbau busuk dan biasanya spesies ini mula memenuhi kawasan dari jam 7.30 malam hingga 3 pagi keesokannya.

"Masalah najis dan hama burung sangat serius dan kami buntu untuk menangani masalah ini," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan turut meninjau kawasan itu bersama wakil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor dan Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Harrison (depan, kanan) bersama-sama wakil agensi kerajaan dan penduduk meninjau pemasangan jaring di koridor apartmen pada Rabu.
Harrison (depan, kanan) bersama-sama wakil agensi kerajaan dan penduduk meninjau pemasangan jaring di koridor apartmen pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian mendapati, terdapat ribuan burung berterbangan dan membuat 'sarang' di dahan pokok dan bertenggek di koridor serta tingkap rumah.

Keadaan itu menyebabkan penghuni apartmen terpaksa menutup tingkap bagi mengelakkan najis dan hama masuk ke dalam rumah.

Adham memberitahu, keadaan membimbangkan apabila terdapat kes kanak-kanak mengalami sesak nafas kerana pengudaraan di rumah mereka terhad beberapa bulan lalu.

"Kami turut memasang jaring hitam untuk mengawal masalah ini, namun masih tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya.

"Keadaan ini menyebabkan kos perbelanjaan pengurusan Apartmen juga meningkat kerana terpaksa membeli jaring dan menanggung bil air bulanan tinggi sehingga RM1,500 berbanding hanya RM600 sebelum ini," ujarnya.

Seorang penduduk, Ahmad Syahmi Abd Nasir, 36, yang menetap di situ sejak 2019 berkata, setiap hari dia terpaksa mencuci kotoran najis burung di koridor rumah.

Jelasnya, selain kotor dan berbau busuk, dia bimbang terhadap aspek kesihatan kerana tidak mengetahui sama ada burung itu membawa penyakit atau pun sebaliknya.

"Apa yang pasti, kami tidak selesa dan tidak tahu sampai bila masalah ini akan berakhir," kata bapa dua anak itu.

Bagi Razali Ramli, 42, berkata, penduduk tidak sanggup berdepan masalah itu dan berharap ia dapat ditangani segera.

Katanya, pihak berwajib diharap segera menyelesaikan isu itu bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku terutama melibatkan nyawa.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Saiful Nizar Nasaruddin, 33, berkata, setiap hari keluarganya terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah menyebabkan ruang pengudaraan terhad berikutan bimbang rumah dihinggapi burung.

Burung berterbangan di bangunan apartmen berkenaan.
Burung berterbangan di bangunan apartmen berkenaan.

"Selang sehari saya terpaksa cuci najis burung di tingkap dan keadaan ini memberi tekanan lebih-lebih lagi ia berbau busuk," jelasnya.

Ahmad Fitri Aziz, 35, pula memberitahu, pernah beberapa kali berjalan di koridor apartmen, dia terkena najis burung berkenaan.

"Selain itu, najis juga mengotorkan kereta penduduk yang di parkir di kawasan lapang," ujarnya yang menetap di aras 10 apartmen itu.

Sementara itu, Harrison berkata, isu dihadapi penghuni apartmen itu dianggap luar biasa kerana melibatkan burung layang-layang berbanding monyet atau kera liar selama ini.

Beliau berkata, masalah itu akan dibincangkan bersama Perhilitan, Jabatan Veterinar dan MPKS bagi bersama mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Setakat ini kita tidak dapat menyimpulkan penyelesaian, tetapi cuba pelbagai kaedah supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menangani masalah yang mengganggu kehidupan seharian penduduk," jelas beliau.