Dua ditahan curi kad sistem TM

Sebanyak 21 unit kad sistem milik TM ditemui polis dalam kereta suspek ketika ditahan di Slim River pada Selasa. - Foto Ihsan PDRM
Sebanyak 21 unit kad sistem milik TM ditemui polis dalam kereta suspek ketika ditahan di Slim River pada Selasa. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

TANJUNG MALIM - Polis berjaya menumpaskan kegiatan curi kad sistem di kabinet milik Telekom Malaysia (TM) dengan menahan dua lelaki di Slim River di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, siasatan mendapati suspek berusia 37 dan 42 tahun itu aktif mencuri di sembilan lokasi sekitar daerah Muallim melibatkan kerugian RM350,530.

"Sekitar jam 11 pagi, anggota Balai Polis Slim River yang melakukan tugas rondaan ternampak suspek yang memakai baju berlogo TM sedang membuka kabinet kad sistem dekat sebuah stesen minyak.

"Ketika menghampiri, kedua-dua suspek melarikan diri menaiki kereta jenis Honda Accord. Polis bertindak mengejar kereta tersebut sebelum menahannya di tepi Jalan Ibrahim Mohd Don," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek mengumpil kabinet TM. - Foto Ihsan PDRM
Polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek mengumpil kabinet TM. - Foto Ihsan PDRM

Menurut beliau, pemeriksaan menemukan 21 unit kad sistem bersama peralatan dipercayai digunakan untuk mengumpil kabinet TM.

"Polis turut merampas dua helai baju berlogo TM dan topi keledar keselamatan yang dipakai suspek.

"Siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek pernah ditangkap dan dituduh di Mahkamah Majistret Tanjung Malim pada Ogos lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hasni berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.