'Jagalah hadiah TMJ elok-elok'

Gambar terkini keadaan padang Stadium Nasional yang dimuat naik oleh Tunku Ismail.
Gambar terkini keadaan padang Stadium Nasional yang dimuat naik oleh Tunku Ismail.
A
A
A

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) seharusnya menjaga dengan baik rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang merupakan ‘hadiah’ daripada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar berkata, Tunku Ismail sudah tentu agak kecewa melihat keadaan padang stadium tersebut yang rosak akibat penganjuran konsert Coldplay baru-baru ini menjelang dua hari lagi aksi final Piala Malaysia pada Jumaat.

Menurutnya, semua orang mengetahui bahawa stadium tersebut bukan hanya untuk perlawanan bola sepak, namun PSM perlu memikirkan garis panduan bagi memastikan rumput bernilai jutaan ringgit itu tidak terjejas ketika disewakan untuk penganjuran aktiviti lain.

“Semua pihak perlu berterima kasih kepada Tunku yang amat mengambil berat tentang bola sepak negara dan menyumbang rumput tersebut.

"Sebagai pihak yang menerima, hargailah dan jaga elok-elok. Rumput itu bukan murah dan berkualiti tinggi. PSM kena mainkan peranan dan kena ambil berat.

"Kita letakkan diri kita dalam kasut Tunku, baginda dah memberi sudah tentu sangat sedih. Tunku sudah tentu tak minta apa-apa pun balasan cuma hargai pemberian itu.

"Macam kita dah bagi emas kepada seseorang dan emas tu calar, takkan yang memberi itu pula yang kena gosok dan kilatkan balik. Sudah tentu penerima itu yang kena jaga dan bertanggungjawab pastikan emas itu terus berkilat.

“Padang dah diberikan secara percuma, takkan penyelenggaraan tak boleh buat dengan elok-elok,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil terus diperkatakan peminat bola sepak selepas Tunku Ismail memuat naik gambar padang tersebut yang masih rosak selepas konsert kumpulan Coldplay baru-baru ini.

Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada padang tersebut sudah bersedia digunakan untuk aksi final Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu pada Jumaat ini.

Tunku Ismail (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kanan) selepas merasmikan padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 Oktober lalu.
Tunku Ismail (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kanan) selepas merasmikan padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 Oktober lalu.

Sebelum ini Tunku Ismail menjadi watak penting, selain penaja untuk menukar rumput jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia di Stadium Nasional itu.

Dalam pada itu, Azlan mengharapkan PSM dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah padang itu supaya berada dalam keadaan baik sebelum aksi final.

“Semua pihak yang terlibat dalam final tersebut perlu duduk berbincang kerana kita tahu kemungkinan besar padang tersebut tidak sempat untuk dibaiki sebelum aksi final.

“Saya harap keadaan padang tidak akan menjejaskan perlawanan kerana ini adalah final dan sudah tentu penonton mahu aksi berkualiti daripada kedua-dua pasukan,” jelasnya.