Ahli Parlimen Rasah nafi terima suapan RM160,000

Kee Chin (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Seremban pada Selasa.
Kee Chin (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin menafikan dakwaan menerima suapan RM160,000 bagi menyelesaikan masalah pendudukan di atas tanah rizab kerajaan di Kampung Pasir di sini.

Beliau berkata, tuduhan terbabit hanya diketahui daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang memaklumkan mengenai surat layang yang diterimanya daripada individu tidak dikenali minggu lalu.

"Dalam surat tersebut saya dinyatakan telah menerima RM40,000 dari setiap empat individu di Kampung Pasir bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Malah saya bersama pegawai khas saya turut difitnah kerana berkuasa melantik kontraktor Tenaga Nasional Berhad(TNB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat, tidak masuk akal beliau melakukan perbuatan terbabit yang jelas boleh mencalarkan imejnya.

Sehubungan itu, Kee Chin yang merupakan Setiausaha DAP Negeri Sembilan mencabar individu terbabit untuk tampil membuktikan tuduhannya dengan mengemukakan saksi terlibat.

"Saya tahu individu itu sengaja nak jatuhkan reputasi saya. Oleh sebab itu saya telah membuat laporan polis bagi siasatan lanjut dilakukan kerana saya yakin berada di pihak yang benar.

"Hari ini (Selasa) juga pegawai khas saya telah membuat laporan mengenai perkara itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menerbitkan surat layang berkenaan termasuk pihak yang membantu menerbitkannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan menerima laporan daripada Kee Chin dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!