Polis kesan saksi bantu siasatan kemalangan maut

Ramli (Laporan Sinar Harian pada Isnin.)
Ramli (Laporan Sinar Harian pada Isnin.)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis sedang mengesan saksi kemalangan membabitkan seorang penuntut Universiti Selangor (Unisel) yang maut selepas kepalanya digilis tayar belakang sebuah jengkaut di Jalan Bukit Badong Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, dalam kejadian itu, mangsa, Arif Danial Samsudin, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, polis memerlukan kerjasama orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan punca sebenar kemalangan.

"Saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Ramli berkata, maklumat berkaitan juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Norasyikin Roslan 010-2621743.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, seorang penuntut Unisel maut selepas kepalanya digilis sebuah jengkaut di Jalan Bukit Badong Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya di sini pada Isnin.

Kejadian jam 10 pagi berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda cuba memotong dua kenderaan di hadapannya yang berada di lorong kiri dan kanan jalan.

Bagaimanapun, ketika cuba memotong kedua-dua kenderaan tersebut, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di bahagian tengah jengkaut menyebabkannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Artikel Berkaitan: