Bursa Malaysia ditutup rendah, jejaki bursa serantau

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.37 peratus atau 5.36 mata kepada 1,451.02 daripada 1,456.38 semasa ditutup pada Jumaat. - Foto hiasan
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.37 peratus atau 5.36 mata kepada 1,451.02 daripada 1,456.38 semasa ditutup pada Jumaat. - Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup lebih rendah hari ini, sejajar dengan prestasi lemah dalam kebanyakan pasaran serantau berikutan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati sementara menunggu sebilangan data ekonomi utama daripada beberapa negara, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.37 peratus atau 5.36 mata kepada 1,451.02 daripada 1,456.38 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.41 mata kepada 1,454.97 dan bergerak antara 1,448.17 dan 1,457.02 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 591 berbanding 306, manakala 430 kaunter tidak berubah, 995 tidak diniagakan dan 27 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan menguncup kepada 3.16 bilion unit bernilai RM1.87 bilion daripada 3.23 bilion unit bernilai RM2.26 bilion pada Jumaat lepas.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.09 peratus kepada 16,646.05, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.20 peratus kepada 3,084.08, Indeks Komposit Bursa Saham Shanghai turun 0.29 peratus kepada 3,022.91 dan Nikkei 225 Jepun susut 0.60 peratus kepada 33,231.27.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, pelabur sedang menantikan data ekonomi dari Jepun, Thailand dan Filipina lewat minggu ini.

"Bagi bursa tempatan, kami menjangka belian semasa harga rendah akan berlaku, disokong aliran masuk dana asing yang berterusan, keadaan ekonomi semakin baik dan kadar faedah stabil di Amerika Syarikat," katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, beliau menjangka FBM KLCI akan bergerak lebih tinggi dalam jajaran 1,445-1,465 untuk minggu ini, dengan paras rintangan segera pada 1,465 dan sokongan pada 1,445.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.00, CIMB menambah satu sen kepada RM5.78, manakala Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing turun empat sen kepada RM4.28 dan RM9.98 dan Petronas Chemicals berkurangan 15 sen kepada RM7.

Bagi kaunter paling aktif, Fitters, Widad dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada lima sen, 47 sen dan 4.5 sen, Velesto susut setengah sen kepada 22 sen dan Berjaya Corp merosot 1.5 sen kepada 28.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 42.23 mata kepada 10,683.42, Indeks FBMT 100 merosot 40.61 mata kepada 10,354.17 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 55.66 mata kepada 10,821.

Indeks FBM 70 menyusut 65.03 mata kepada 13,983.02 dan Indeks FBM ACE rendah 17.31 mata kepada 5,115.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 15.21 mata kepada 16,364.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.72 mata kepada 170.27, Indeks Tenaga turun 3.39 mata kepada 812.21 dan Indeks Perladangan berkurangan 7.19 mata kepada 6,983.22.

Jumlah dagangan Pasaran Utama tidak berubah pada 1.90 bilion unit bernilai RM1.62 bilion berbanding 1.90 bilion unit bernilai RM1.98 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran turun kepada 610.12 juta unit bernilai RM58.20 juta daripada 639.84 juta unit bernilai RM68.94 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 623.39 juta saham bernilai RM195.27 juta berbanding 686.81 juta saham bernilai RM205.18 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 462.14 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (511.76 juta); pembinaan (79.15 juta); teknologi (121.03 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (63.89 juta); hartanah (147.48 juta); perladangan (26.17 juta); REIT (13.13 juta), dana tertutup (2,600); tenaga (238.69 juta); penjagaan kesihatan (105.37 juta); telekomunikasi dan media (38.51 juta); pengangkutan dan logistik (31.32 juta) dan utiliti (68.54 juta). - Bernama