Kumpulan AmBank jana akses internet, tingkat kualiti hidup komuniti Orang Asli

KUMPULAN AmBank menerusi Yayasan AmGroup meneruskan komitmen membantu komuniti mendapatkan akses kepada kemudahan asas menerusi penyediaan sambungan internet Starlink di Kampung Sungai Gayung, Muadzam Shah, Pahang.
Inisiatif itu menjadikan Kampung Sungai Gayung sebagai perkampungan Orang Asli pertama di daerah Rompin yang dilengkapi kemudahan sambungan internet sekali gus membuka peluang kepada penduduk untuk mengakses maklumat, pendidikan dan kemudahan digital.
Usaha berkenaan merupakan kesinambungan program pembangunan komuniti yang dilaksanakan Kumpulan AmBank sejak tahun lalu, dengan matlamat merapatkan jurang digital serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.
Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank, Datuk Jamzidi Khalid berkata, usaha membantu komuniti perlu bermula dengan memahami keperluan sebenar masyarakat serta cabaran yang dihadapi mereka.
Menurutnya, bantuan yang benar-benar bermakna bermula apabila keutamaan komuniti yang ingin dibantu difahami.
Walaupun keperluan asas sentiasa menjadi keutamaan, akses internet, pendidikan dan kemahiran digital kini turut memainkan peranan penting dalam membuka peluang lebih luas kepada generasi akan datang.
“Kami berbesar hati kerana dapat meneruskan usaha yang dimulakan di Kampung Sungai Gayung pada tahun lalu. Daripada sumbangan barangan keperluan asas dan pemasangan lampu jalan solar, kini kami dapat menyediakan sambungan internet, Pusat Sumber Digital serta program literasi digital kepada penduduk.
“Bagi kami, usaha ini bukan sekadar menyediakan peralatan atau kemudahan, tetapi membantu mewujudkan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak belajar dengan lebih kondusif, keluarga terus berhubung dan masyarakat meneroka peluang ekonomi baharu, termasuk melalui perniagaan dalam talian.
“Kami berharap segala kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dan hubungan yang terjalin melalui program ini akan terus erat pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Global Peace Foundation Malaysia, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) yang terlibat dalam pembangunan komuniti Orang Asli dan masyarakat luar bandar, khususnya dalam bidang bekalan air bersih, tenaga solar, sumber pendapatan mampan serta pembangunan kepimpinan belia.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Foundation Malaysia, Dr Teh Su Thye berkata, pembangunan komuniti yang berterusan dan berkesan perlu mengambil kira aspirasi serta keperluan masyarakat itu sendiri.
Menurutnya, pembangunan komuniti akan memberikan hasil lebih bermakna apabila dimulakan dengan memahami harapan dan aspirasi penduduk.
“Di Kampung Sungai Gayung, Pusat Sumber Digital ini bukan sahaja menyediakan tempat untuk kanak-kanak belajar, malah memberi peluang kepada penduduk untuk menggunakan internet dan meneroka pelbagai peluang baharu.
“Kami amat menghargai sokongan Kumpulan AmBank serta para sukarelawannya dan berharap komuniti setempat akan memanfaatkan pusat ini sebaik mungkin sebagai ruang pembelajaran dan pembangunan bersama,” katanya.
Pada tahun lalu, Kumpulan AmBank menyalurkan bantuan kepada penduduk Kampung Sungai Gayung dan Kampung Batu Putih menerusi pemasangan lampu jalan berkuasa solar serta sumbangan barangan keperluan asas dan pakaian bagi membantu memenuhi keperluan harian mereka.
Tahun ini, usaha berkenaan diperkukuh menerusi pemasangan internet Starlink, penambahan lampu jalan serta pembinaan semula Rumah Adat Kampung Sungai Gayung yang kini berfungsi sebagai Pusat Sumber Digital.
Pusat itu diwujudkan sebagai ruang pembelajaran bersama yang membolehkan penduduk, khususnya kanak-kanak dan golongan muda, memanfaatkan teknologi digital, meneroka peluang pendidikan serta membangunkan kemahiran yang semakin penting dalam kehidupan masa kini.
Bagi menyokong penggunaan kemudahan berkenaan, Kumpulan AmBank turut menyumbangkan komputer riba untuk kegunaan penduduk, selain meja belajar, lampu dan bahan bacaan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Menyedari bahawa penyediaan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa pengetahuan untuk menggunakannya, AmBank Volunteer Network (AVN), yang sebahagian besarnya terdiri daripada warga kerja Perbankan Borong Kumpulan AmBank, turut mengendalikan kelas literasi digital kepada komuniti setempat.
Menerusi sesi itu, penduduk diberi pendedahan kepada penggunaan peralatan digital serta kemahiran asas teknologi bagi membantu mereka mengakses maklumat, berkomunikasi dan memanfaatkan kemudahan dalam talian untuk urusan harian.
Pada masa sama, Kumpulan AmBank turut melaksanakan kerja pembinaan semula Rumah Adat sedia ada di Kampung Batu Putih.
Sumbangan pakaian terpakai daripada warga kerja AmBank serta bekalan barangan keperluan asas turut disalurkan bagi membantu meringankan beban penduduk dalam memenuhi keperluan harian.
Bagi Kumpulan AmBank dan Yayasan AmGroup, usaha itu bukan sekadar membawa sambungan internet ke sebuah perkampungan pedalaman, tetapi turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menimba ilmu, membina keyakinan diri dan meneroka peluang baharu tanpa mengetepikan identiti, budaya serta cara hidup mereka.
Kumpulan AmBank menerusi Yayasan AmGroup juga berharap kemudahan dan sokongan yang disediakan dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih baik untuk kanak-kanak, meningkatkan keyakinan penduduk dalam penggunaan teknologi digital serta menghubungkan komuniti Orang Asli dengan peluang yang lebih luas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
