Biar Cheng Hoe kendali Harimau Muda

Jamal bersetuju sekiranya FAM memberikan peluang kepada Cheng Hoe untuk turut mengendalikan skuad B-22 negara. -Foto FAM
Jamal bersetuju sekiranya FAM memberikan peluang kepada Cheng Hoe untuk turut mengendalikan skuad B-22 negara. -Foto FAM
A
A
A

BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail bersetuju sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan peluang kepada Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk turut mengendalikan skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara.

Katanya, ini kerana corak permainan skuad senior dan Harimau Muda dapat diseragamkan selain memudahkan jurulatih itu untuk membuat pemilihan pemain ketika menghadapi perlawanan.

“Kita akui sejak Cheng Hoe mengendalikan skuad Harimau Malaya, ada perubahan positif daripada sudut corak dan taktikal permainan. Pada pandangan saya, tidak timbul isu beliau sesuai atau tidak sebaliknya kesanggupannya menerima tugas tersebut kerana bakal memikul tugas berat.

“Sekiranya seorang jurulatih itu mengendalikan dua skuad (senior dan B-22) ialah mereka mempunyai kelebihan untuk membuat penilaian prestasi semasa pemain muda untuk disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya. Jika tidak diberikan peluang dan pendedahan luas, bila mereka akan mendapat pendedahan bermain bersama skuad senior.

“Jangan jadikan faktor umur bagi menghalang pemain muda bermain dalam skuad senior. Bukan nak merendah-rendahkan pemain yang berumur dalam skuad kebangsaan tetapi bola sepak tidak hanya menuntut kepada pengalaman semata-mata sebaliknya, soal stamina, kelincahan, kecepatan dan kematangan bermain itu penting. Jika pakej ini ada pada pemain muda, sudah pasti Cheng Hoe akan berikan peluang dalam skuad Harimau Malaya,” katanya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sebelum ini memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan mengikut kaedah Vietnam dan Thailand yang meletakkan ketua jurulatih skuad utama mereka mengendalikan skuad B-22 atau B-23.

Mengulas lanjut, Jamal menyifatkan pendapat yang merasakan perkara tersebut tidak sesuai kerana dibimbangi Cheng Hoe akan gagal kerana hilang fokus, pandangan tersebut sangat tidak membina.

“Kejayaan itu tidak datang sebelum ada langkah atau percubaan pertama. Ia juga hadir selepas berlaku kegagalan dan proses penambahbaikan berlaku selepas itu. Kalau tak cuba macam mana nak tahu hasilnya.

Artikel Berkaitan:

“Jika Cheng Hoe tidak berjaya dalam percubaan ini, kita boleh lihat sisi lemah perkara itu dan perbaikinya. Itu lah cara bagaimana sesebuah pasukan itu boleh berjaya.

“Saya beri satu contoh, Lionel Messi dan legenda Brazil, Pele, berapa usia mereka ketika mula bermain untuk negara pada perlawanan Piala Dunia. Sama jugalah dengan situasi sekarang jika tidak mulakan sekarang, bila lagi,”soalnya.