Arsenal terajui carta EPL

Arteta. - Foto EPA
Arteta. - Foto EPA
A
A
A

ARSENAL terus mengorak langkah untuk menerajui carta Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah menumpaskan Wolverhampton Wanderers 2-1 dalam aksi di laman sendiri pada malam Sabtu.

Kemenangan itu menggembirakan pengendalinya, Mikel Arteta, namun dia kembali mengimbas perjuangan mereka musim lalu berakhir dengan kekecewaan apabila pemburuan trofi liga disekat Manchester City.

Beliau berkata, para pemain menunjukkan konsistensi dalam setiap perlawanan yang diharungi, namun perjalanan The Gunners masih panjang.

“Saya boleh memuji pemain, namun perjalanan masih panjang,” kata Arteta.

Dalam aksi itu, Bukayo Saka meletakkan Arsenal di depan menerusi jaringan pada minit keenam, sebelum Martin Odegaard meledak gol kedua tujuh minit kemudian.

Pasukan tuan rumah hampir menokok gol ketiga, namun rembatan Gabriel Martinelli terkena tiang pada penghujung separuh masa pertama.

Bagaimanapun menuju wisel penamat, Arsenal dipaksa bekerja keras apabila diasak Wolves yang akhirnya berjaya memperoleh gol saguhati pada minit ke-86 menerusi Matheus Cunha.

“Mereka sangat baik. Kami bermain menentang pasukan yang bagus dan menghasilkan begitu banyak peluang.

Artikel Berkaitan:

“Gol sepatutnya lebih besar. Kami tidak bernasib baik, saya rasa tiga percubaan kami terkena tiang.

“Penghujung aksi kami melakukan kesilapan untuk membolehkan lawan mendapat gol. Dalam EPL anda akan dihukum jika lalai. Tapi secara keseluruhannya saya gembira dengan apa yang dipamerkan pemain,” ujar Arteta.

Menerusi kemenangan itu, Arsenal mengungguli carta liga dengan 33 mata hasil 10 kemenangan dan tiga seri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!