Menteri KPDN: Amanah kemuka dua nama kepada PM

Mohd Sany (kanan) beramah mesra dengan wakil-wakil pimpinan pemuda parti di dalam Pakatan Harapan Perak selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Mohd Sany (kanan) beramah mesra dengan wakil-wakil pimpinan pemuda parti di dalam Pakatan Harapan Perak selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) sudah mengemukakan sekurang-kurangnya dua calon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipilih mengisi kekosongan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, bagaimanapun terpulang kepada Anwar untuk memilih sesiapa sahaja yang mahu dilantik menjadi anggota Kabinet.

Menurutnya, Perdana Menteri perlu membuat penelitian bagi memastikan nama-nama yang menganggotai Jemaah Menteri memenuhi kriteria diperlukan terutama bagi jawatan Menteri KPDN.

"Sebab itu saya sebutkan, ia hak Perdana Menteri (melantik jemaah menteri).

"Kita pun tak tahu bila tarikh lantikan, cuma diberitahu dalam masa terdekat.

"Parti Amanah sudah menghantar nama untuk mengisi jawatan tersebut sekarang terpulang kepada Perdana Menteri menentukannya.

"Cuma saya dengar-dengar macam nama (Ahli Parlimen) Hulu Langat kuatlah.

"Kalau PM (Perdana Menteri) lantik saya (sebagai Menteri KPDN), saya panjatkan kesyukuran kehadrat ALLAH," katanya sambil berseloroh kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sany (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang Ahli Jawatankuasa Manah Perak, Muhammad Faeez Azahar selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Mohd Sany (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang Ahli Jawatankuasa Manah Perak, Muhammad Faeez Azahar selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Pengerusi Amanah Perak, Dr Fakhruldin Mohd Hashim dan Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim.

Sebelum ini, Anwar pada Jumaat membayangkan bahawa rombakan Kabinet akan berlaku sebelum berakhir Disember.

Ketika diajukan soalan berkaitan rombakan Kabinet selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4C, Presint 18, di sini, Anwar telah memanggil seorang kanak-kanak, Akmal Afif Yaseer Arafat, 12, dan memintanya untuk mengulangi soalan berkenaan sebagai mewakili pemberita.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar berkata kekosongan jawatan Menteri KPDN itu akan diisi sekiranya ada calon sesuai.

Bagaimanapun sehingga kini, penggantinya masih menjadi tanda tanya sehingga menimbulkan desas-desus akan berlaku rombakan Kabinet.

Portfolio Menteri KPDN kini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Pada 23 Julai lalu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, pada jam 9.23 malam ketika dirawat di unit rawatan rapi.