Young Tigers sedia jerat Chile

Muhamad Amin bersama pemain Young Tigers. - Foto Konfederasi Hoki Malaysia
Muhamad Amin bersama pemain Young Tigers. - Foto Konfederasi Hoki Malaysia
A
A
A

SKUAD hoki remaja lelaki negara yang akan turun menentang Chile pada aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Selasa ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dilihat sudah bersedia dengan strategi yang dirangka.

Pengendali skuad The Young Tigers, Muhamad Amin Rahim berkata, pemain-pemainnya semakin menunjukkan peningkatan dalam sesi-sesi latihan akhir menjelang perlawanan itu.

“Apa yang sedang dibuat dalam masa terdekat ialah memperkukuhkan struktur bertahan dan menyerang dan pastinya tumpuan selepas Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor ialah pukulan sudut penalti.

”Selepas beberapa latihan tempoh hari, kita mengenal pasti dan lihat yang kita kena kuatkan struktur bertahan dan menyerang. Kalau kita boleh beri tumpuan kepada bidang berkenaan pastinya kita berada di laluan yang tepat,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Mengenai corak permainan pasukan Chile, Muhamad Amin berkata, gaya pasukan itu seolah-olah menyerupai pasukan ranking pertama remaja dunia, Argentina.

“Untuk saya, Chile dari benua Pan American jadi kita jangka cara permainan dia lebih kurang Argentina. Kita tahu Argentina dan Chile salah satu pasukan yang pendekatan berbeza dari segi taktikal dan gaya permainan, jadi kita kena bersedia dari segala sudut dari segi bertahan, menyerang dan serangan sudut penalti dan pertahanan.

“Kali terakhir main dengan Chile dekat Bhubaneswar, India (2021) dan kita menang 2-1. Jadi itu kali terakhir kita bermain sekali, jadi kita jangka ini merupakan perlawanan yang sukar. Tentunya ranking kita lebih tinggi (kelapan dunia) dan Chile (ke-20 dunia) namun, sebenarnya ia lebih kepada siapa yang mahu menang,” katanya.

Bagaimanapun, Muhamad Amin yakin anak buahnya mampu menghadapi ancaman itu apabila mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri dan diserikan kehadiran penyokong tegar sukan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, membuka kempen menentang Chile, diikuti aksi ke atas juara bertahan Argentina pada Rabu ini (6 Disember) dan menutup peringkat kumpulan menentang juara 1997 Australia pada Jumaat ini (8 Disember) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Pencapaian terbaik Malaysia pada JWC adalah meraih tempat keempat pada edisi sulung 1979, serta 1982 dan 2013, manakala pada edisi lepas, skuad negara tersingkir pada suku akhir selepas tewas 0-4 kepada Perancis. - Bernama