Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tutup akhir September

Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bakal ditutup hujung bulan depan bagi memberi laluan kerja-kerja penambahbaikan menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki di Kuala Lumpur pada Disember.
Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bakal ditutup hujung bulan depan bagi memberi laluan kerja-kerja penambahbaikan menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki di Kuala Lumpur pada Disember.
A
A
A

STADIUM Hoki Nasional Bukit Jalil bakal ditutup hujung bulan depan bagi memberi laluan kerja-kerja penambahbaikan, menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Kuala Lumpur Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, proses itu akan dilakukan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi memastikan venue tersebut benar-benar bersedia menjadi medan perjuangan 16 pasukan pada kejohanan berkenaan bermula 5 hingga 16 Disember.

"PSM mungkin akan cat semula tempat duduk penonton selain memasang kain rentang kejohanan di dalam stadium serta memastikan kondisi padang dalam keadaan baik," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata, sebuah padang terletak bersebelahan stadium itu yang akan dijadikan tempat pemanas badan sebelum perlawanan bermula juga ditutup untuk tujuan sama.

Katanya, tahap persediaan pihaknya sudah mencapai 70 peratus dan yakin jawatankuasa lain juga mencapai tahap kemajuan sama ke arah menjayakan penganjuran itu.

Pada kejohanan Piala Dunia Remaja itu Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan layak ke suku akhir, manakala selebihnya akan beraksi bagi peringkat klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16.

Dalam pada itu, Anil tidak menolak kemungkinan saingan Liga Hoki Remaja Malaysia 2023 yang membuka tirai pada Khamis hingga 19 Ogos bakal menjadi platform pemain muda menambat hati jurulatih Muhamad Amin Rahim untuk disenaraikan dalam skuad 'Young Tigers'.

Katanya, 28 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita bakal berentap dalam liga itu yang diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bagi divisyen 1 lelaki dan final, Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang (divisyen 2 lelaki zon utara), Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka (divisyen 2 lelaki zon selatan) dan Stadium Hoki Lembah Pantai (wanita). - Bernama