Program silang budaya perlu diperhebat

Mohd Faizal (tengah, berbaju batik merah) bersama peserta dan tetamu di Program Silang Budaya Negeri Sembilan Dengan Kabupaten 50 Kota Sumatera Barat, Indonesia pada Sabtu.
Mohd Faizal (tengah, berbaju batik merah) bersama peserta dan tetamu di Program Silang Budaya Negeri Sembilan Dengan Kabupaten 50 Kota Sumatera Barat, Indonesia pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Program silang budaya antara Malaysia dengan negara luar terutama melibatkan negara serantau seperti Indonesia perlu diperhebatkan.

Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, pertukaran dan perkongsian mengenai budaya negara masing-masing merupakan usaha penting dalam memastikan keakraban negara serumpun dapat diperkukuhkan.

"Seperti yang kita ketahui budaya dan adat di Negeri Sembilan ini ada banyak persamaan dengan suku Minang di Indonesia.

"Tetapi bila adanya program sebegini kita dapat lihat perbezaan yang boleh kita belajar dan secara tidak langsung akan mewujudkan hubungan rapat antara kedua negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Silang Budaya Negeri Sembilan Dengan Kabupaten 50 Kota Sumatera Barat, Indonesia di sini pada Sabtu.

Mohd Faizal (kiri) menyerahkan cenderahti kepada Bupati 50 Kota Sumbar.
Mohd Faizal (kiri) menyerahkan cenderahti kepada Bupati 50 Kota Sumbar.

Menurutnya, menerusi program itu juga dapat memberi pendedahan kepada generasi muda khususnya tentang keunikan adat dan budaya negeri ini.

Ujarnya, jika ia tidak dipromosikan, lama kelamaan akan hilang dan hanyut ditelan zaman.

Artikel Berkaitan:

"Generasi sekarang perlu diberi penekanan mengenai perkara ini kerana merekalah yang akan mewarisi nanti.

"Dengan kerjasama semua pihak, saya percaya ia akan terus berkekalan dan pentingnya program seperti ini diperhebatkan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faizal berkata, Belanjawan 2024 Negeri Sembilan yang memperuntukkan RM1 juta untuk program Perpatih Fest dan Aktiviti Adat merupakan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan adat seni dan warisan budaya Negeri Sembilan terus subur.