Mangsa banjir di Kelantan bertambah, Johor berkurang

Kelihatan kanak-kanak bermain air bah ketika banjir melanda di Kampung Pasir, Johor Bahru ketika tinjauan pada Jumaat. - Foto Bernama
Kelihatan kanak-kanak bermain air bah ketika banjir melanda di Kampung Pasir, Johor Bahru ketika tinjauan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hujan lebat malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di tiga jajahan di Kelantan dinaiki air seterusnya menambah bilangan mangsa banjir kepada 655 orang daripada 207 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 594 orang daripada 181 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) juga bertambah kepada lima berbanding tiga malam tadi.

Di jajahan Pasir Mas, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh menempatkan 226 mangsa daripada 77 keluarga dan 64 orang daripada 26 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial.

Di jajahan Bachok, 241 mangsa daripada 66 keluarga berlindung di PPS SMK Beris Panchor dan SK Jelawat pula menempatkan 114 mangsa daripada 35 keluarga manakala di jajahan Machang PPS SK Pulai Chondong menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kilat dari lima kampung di Johor Bahru menurun sedikit kepada 565 orang 8 pagi ini, berbanding 582 orang pada 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa daripada 150 keluarga itu ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru dan SK Bukit Mutiara.

Menurut kenyataan itu, seramai 312 orang daripada 84 keluarga dari Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau ditempatkan di PPS SK Bukit Mutiara.

PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru pula menempatkan 253 orang daripada 66 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat.

Artikel Berkaitan:

JPBN turut memaklumkan cuaca di sekitar Johor Bahru cerah setakat 8 pagi ini.

Sementara itu, paras air Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada paras waspada dengan bacaan 7.95 meter. - Bernama